Pulau Sebatik: Tiada persetujuan dibuat dengan Indonesia - Hajiji

Iklan
Hajiji (kanan) ketika hadir pada sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan dibuat melalui platform mesyuarat dua hala Malaysia-Indonesia berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan persempadanan darat dan laut wilayah secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.

"Kerajaan negeri juga telah dilibatkan secara aktif dalam platform-platform mesyuarat dua hala ini yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri dan akan memastikan setiap perundingan atau cadangan yang melibatkan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia adalah dibentang dan dirujuk kepada jemaah menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang meminta penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi.

Mohd Shafie yang juga Ketua Pembangkang Sabah turut bertanya apa yang dituntut oleh Indonesia berhubung sama ada perjanjian sudah dibuat atau masih dalam peringkat rundingan.

Iklan

Sehubungan itu, Hajiji berkata, kerajaan Sabah kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa juga cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat.

"Kerajaan negeri tegas dengan pendirian bahawa persempadan negeri Sabah di Pulau Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang latitud 4°10’ bermula dari East Pillar sehingga LowWater Linedi sebelah timur Pulau Sebatik.

"Sempadan Maritim yang telah ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi yang hanya melibatkan 12 batu nautika, tidak mendatangkan kerugian kepada Sabah.

"Perundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan yang melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7) yang merupakan Exclusive Economic Zone (EEZ) masih belum dimulakan," katanya.

Tambah beliau lagi, sempadan yang melibatkan Pulau Sebatik iaitu kawasan 'Intertidal' masih dalam rundingan.

"Sesi rundingan terkini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas 'Special Technical Meeting' (STM) yang telah diadakan pada 16 hingga 17 November 2023 di Tangerang, Indonesia, diakhiri tanpa apa-apa perkembangan kerana kedua-dua belah pihak kekal dengan pendirian masing-masing.

"Rundingan tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri manakala, kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Pengarah Tanah dan Ukur di dalam delegasi Malaysia pada mesyuarat tersebut," katanya.

Sebelum mengakhiri jawapannya, Hajiji sekali lagi menegaskan bahawa tidak pernah ada rundingan atau persertujuan mengenai persempadanan melibatkan Ambalat.

"Saya ingin nyatakan dalam Dewan ini bahawa rundingan mengenai laut Sulawesi tidak pernah ditandatangani.

"Yang ditandatangani ialah melibatkan perairan 12 batu dan sebelum itu tidak pernah ada satu rundingan atau persetujuan mengenai persempadanan tersebut.

"Yang menjadi persoalan itu adakah kita bersetuju dalam tuntutan, ini tidak pernah dipersetujui dan masih dalam perundingan dengan kerajaan Indonesia.

"Itu yang saya dapat tahu dalam taklimat dan penerangan yang diberikan oleh Kementerian Luar kepada kerajaan negeri.

"Jadi melibatkan Laut Sulawesi atau Ambalat itu tidak pernah ditandatangani atau tidak pernah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia atau Sabah.

"Jadi tidak timbul isu bahawa kita tidak dimaklumkan dalam perkara ini," tegasnya.