Saran perkenal Feri Kedah Sejahtera

Iklan
Kerajaan negeri disaran memperkenalkan Feri Kedah Sejahtera untuk menangani masalah perkhidmatan feri yang sering berulang. - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Kerajaan negeri disaran memperkenalkan Feri Kedah Sejahtera untuk menangani masalah perkhidmatan feri yang sering berulang.

Amar Pared Mahamud (Kuah-Bersatu) mencadangkan operasi feri berkenaan diletakkan bawah mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan wujudnya satu konsortium alternatif baharu ini, perkhidmatan feri sedia ada akan bertambah baik kerana wujudnya persaingan sihat antara operator-operator feri.

"Ia juga akan bersaing dalam aspek menawarkan harga tambang dan servis perkhidmatan yang lebih bermutu dan kompetitif,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Kedah 2024 di persidangan DUN Kedah pada Isnin.

Iklan

Amar Pared berkata, sebagai persediaan Tahun Melawat Kedah 2025, kerajaan negeri juga perlu mewujudkan ekosistem pelancongan mesra pelancong.

"Segala limitasi yang boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri harus ditangani segera.

Iklan

Antaranya, masalah feri yang menghubungkan Pulau Langkawi dengan tanah besar (Kuala Kedah dan Kuala Perlis) yang menjadi masalah yang tiada penghujungnya.

Amar Pared (kiri) berbincang sesuatu dengan ADUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria selepas persidangan ditangguhkan.

"Pelancong dan penduduk setempat terus dihimpit percaturan dan monopoli pengusaha yang mengejar keuntungan semata-mata,” ujarnya.

Menurutnya lagi, polemik dan masalah pengangkutan feri yang membelenggu sektor pelancongan Pulau Langkawi harus ditamatkan segera dan menyarankan agar kerajaan negeri dan Persekutuan duduk semeja kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab dan bidang kuasa berbeza.

"Bagi memastikan pusat-pusat pelancongan terus mendapat tempat di hati pelancong, ia harus sentiasa diselenggara dengan baik untuk menyambut kedatangan pelancong.

"Peruntukan RM1 juta bagi projek pembangunan, kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya lagi.

Amar Pared berkata, kerajaan negeri juga perlu memastikan Kedah terus menjadi lokasi penganjuran acara-acara utama negara dan antarabangsa.

"Langkawi pernah menganjurkan Dialog Antarabangsa Langkawi selain penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Ironman Langkawi dan Langkawi International Marathon, kini Langkawi tidak lagi menjadi destinasi pilihan penganjuran acara terkemuka negara dan antarabangsa termasuk acara berbasikal bertaraf Pro Tour, Le Tour De’ Langkawi,” jelasnya.

Menurutnya, segmen pelancongan berasaskan pameran dan persidangan yang telah terbukti memberi impak signifikan kepada sektor ekonomi negeri juga wajar diberikan perhatian.

"Selain promosi pelancongan, kerajaan negeri juga harus memastikan optik pelancongan negeri sentiasa dalam keadaan positif. Isu negatif pelancongan negeri yang berlegar di media sosial harus segara ditangani.

"Terdapat usaha sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan keresahan pelancong yang ingin ke Langkawi dan ia sedikit sebanyak menjejaskan imej pelancongan Langkawi,” katanya.

Amar Pared turut mencadangkan agar kerajaan negeri menarik minat pihak swasta untuk mengambil bahagian dalam mempromosi pelancongan negeri ini.

"Jalinkan usahasama bersama syarikat penerbangan antarabangsa, manfaatkan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa yang mampu menampung sekitar empat juta penumpang setahun.

"Ia seharusnya mampu menarik minat syarikat penerbangan antarabangsa dari Timur Tengah seperti Qatar Airways dan syarikat penerbangan dari Eropah seperti EasyJet dan RyanAir untuk mengadakan penerbangan terus dari Timur Tengah dan Eropah agar setanding dengan pulau peranginan terkemuka Asia Tenggara lain seperti Bali di Indonesia dan Phuket di Thailand,” jelasnya.

Amar Pared berkata, Tahun Melawat Kedah 2025 merupakan langkah ke hadapan berbanding Kerajaan Persekutuan yang akan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 dijangka diadakan awal tahun 2024. Sesuai dengan jolokan ‘Langkawi Permata Kedah’, Langkawi sedia menjadi tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 nanti.

"Langkawi bukan sahaja menjadi nadi utama pelancongan Kedah, bahkan pulau lagenda ini adalah permata kepada pelancongan pulau dan pantai di Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya lagi, peruntukan RM 4.3 juta merupakan inisiatif baik dalam menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025 melibatkan kos bagi program dan promosi pelancongan, projek pembangunan, kerja baikpulih dan naiktaraf kemudahan pelancongan serta geran kepada usahawan pelancongan.

"Bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk fokus kepada konsep geotourism melalui Program Jejak Geopark Global UNESCO 3 Langkawi dan Jerai Geopark, perlu dirancakkan lagi program dan aktiviti berkaitan.

"Program konservasi tapak Arkeologi Sungai Batu di Merbok juga berpotensi digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia dan dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan baharu. Tidak mustahil, tapak arkeologi ini akan setanding dengan Candi Borobudur di Yogjayakarta, Indonesia,” jelasnya.