TSHIKAPA - Sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui dalam insiden feri terbakar di Sungai Congo semalam, kata pegawai tempatan.
Berdasarkan laporan pasukan tentera laut yang bertanggungjawab bagi keselamatan jalan air di negara itu, salah seorang kru menyalakan rokok ketika rakan-rakannya sedang mengisi minyak sehingga menyebabkan feri yang membawa penumpang dan barangan terbakar.
Iklan
Iklan
Kejadian berlaku berhampiran sebuah kampung di ibu kota wilayah pusat Kasai dan 17 mayat dijumpai pada Selasa lalu, manakala tiga lagi ditemukan semalam di kawasan di sepanjang Sungai Kasai dan anak Sungai Congo.
Beberapa penumpang lain turut mengalami luka terbakar dan jumlah penumpang sebenar yang masih hilang belum diketahui memandangkan tiada laporan lengkap berhubung jumlah penumpang yang berada di atas feri terbabit ketika kejadian berlaku.
Pengangkutan air sama ada di tasik atau pun sungai digunakan secara meluas di negara itu memandangkan sistem lebuh rayanya masih lemah, namun kemalangan dianggap perkara biasa disebabkan terlebih muatan atau keadaan feri yang tidak selamat. - AFP.