SHAH ALAM - Seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Asma Nedal Mohammad Daghles, 27, yang berasal dari Nablus, Palestin menzahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan bapanya yang kini ditahan dan dipenjarakan di Israel sejak April lalu.
Asma Nedal yang merupakan graduan sarjana dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam UIAM memaklumkan, bapanya sering berhadapan dengan penyiksaan sewaktu dalam tahanan.
"Ayah saya acap kali diseksa dan sering dipindahkan dari satu penjara ke penjara yang lain. Walaupun begitu, saya dan keluarga tetap dimaklumkan mengenai keadaan dan perkembangan ayah saya.
"Kami sekeluarga tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku kepada ayah kerana dia dipenjarakan di tempat lain sejak 7 Oktober lalu apabila tercetusnya konflik,” katanya selepas Majlis Konvokesyen UIAM ke-39.
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila tersebar berita mengenai pembunuhan di dalam kawasan penjara di Israel.
Menurut graduan berkenaan, perkara tersebut yang membuatkan dia bertambah risau dan sedih akan nasib menimpa bapanya.
Dalam pada itu, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana di sebalik tragedi yang berlaku di Palestin, ahli keluarganya selamat dan mampu bertahan.
"Saya bersyukur walaupun keadaan di kampung halaman tidak menentu, saya masih dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain melalui aplikasi WhatsApp,” ujar ibu kepada seorang anak itu.
Asma Nedal turut berkongsi cerita dalam mengharungi liku-liku sepanjang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Dia berkata, suami merupakan individu terpenting sepanjang mengharungi segala cabaran sewaktu belajar dan bapa menjadi sumber inspirasi untuk menamatkan pengajian.
"Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang banyak memberikan motivasi dan semangat kepada saya. Sumber inspirasi adalah ayah kerana dia secara konsisten menyokong saya untuk sambung pengajian di peringkat tertinggi sejak kecil lagi.
"Saya anggap ayah sebagai seorang hero dan kejayaan ini didedikasikan sepenuhnya untuk ayah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Asma Nedal merancang untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Malaysia, namun kini dia mahu menumpukan perhatian kepada anaknya yang berusia dua bulan.
Pada masa sama, dia turut mengajak rakan-rakan di Palestin untuk terus melanjutkan pengajian walaupun konflik berlaku di tanah air mereka.
"Kepada rakan-rakan senegara, saya mengajak anda untuk terus melanjutkan pengajian dalam mencari ilmu, ini kerana dengan pengetahuan sahaja kita dapat membebaskan tanah air daripada dijajah," katanya.