SHAH ALAM - Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat dilancarkan bermula pada Isnin hingga 31 Disember ini sebagai galakan dan seruan kepada umat Islam terutamanya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir tahun 2023.
Bertemakan 'Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka' bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat yang layak menunaikan kewajipan zakat, bersama-sama Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu asnaf memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, menerusi kempen itu masyarakat lslam dapat berkongsi rezeki zakat dengan asnaf di Selangor agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam cabaran ekonomi masa kini.
Sehingga kini, menurutnya, LZS berjaya membantu lebih 68,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.
"Sehingga Oktober seramai 321,000 pengeluar zakat di Selangor termasuklah mereka dalam kalangan pembayar individu serta syarikat-syarikat korporat menunaikan zakat dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM735,174,955 dan membolehkan kami membuat agihan sebanyak RM809,496,375.
"Dengan jumlah asnaf yang kini melebihi 68,000 , ketua keluarga dan dijangka bertambah di seluruh Selangor, zakat amatlah diperlukan agar kami dapat terus membantu masyarakat setempat terutamanya golongan memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat di Ibu Pejabat LZS di Seksyen 13 di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, LZS turut mengajak masyarakat untuk menyertai kempen-kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan menawarkan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat.
Kempen inisiatif tersebut termasuklah Kempen Zakat Online On X On khusus kepada pengeluar zakat membuat bayaran zakat menerusi ezakatpay di fpx.zakatselangor.com.my.
Kempen Auto Kan Senang terbuka kepada individu, peniaga dan syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan menerusi platform Direct Debit dan Kempen Auto Debit khusus kepada pendeposit dan pelabur di Maybank lslamic Berhad.
Mohd Sabirin menambah Kempen Kongsi Rezeki Video Challenge pula terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk berkongsi kreativiti membuat video pendek bagi mengajak orang awam menunaikan tanggungjawab berzakat di LZS.
Sementara bagi Kempen Early Bird pula berlangsung di 18 cawangan LZS bemula pada 1 hingga 7 Disember ini khusus kepada 10 pengeluar zakat terawal mengunjungi cawangan LZS setiap hari dan akan menerima cenderahati eksklusif LZS.
"Selain itu, bagi memudahkan urusan umat Islam di Selangor menunaikan kewajipan berzakat, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat.
"Ini termasuklah dengan waktu operasi tujuh hari seminggu di semua cawangan LZS sepanjang Disember ini, saluran pembayaran zakat dalam talian seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online," tambahnya.
Maklumat lanjut berkenaan kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalul media sosial rasmi LZS.