ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor menjangkakan harga durian termasuk Musang King akan jatuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, susulan pembukaan ladang durian berskala besar dilakukan pekebun ketika ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, banyak kawasan tanaman kelapa sawit sebelum ini telah ditebang untuk penanaman durian.
"Berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian, tanaman durian berskala besar sejak beberapa tahun ini, kemungkinan harga durian akan jatuh dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sekarang harga durian Musang King sebiji RM90 hingga RM120," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Isnin.
Dalam pada itu, Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap menambah kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membina pusat pengumpulan hasil pertanian di Tangkak.
Katanya, pembinaan pusat pengumpulan hasil pertanian tersebut akan membantu menyelesaikan isu lambakan durian sekiranya berlaku di pasaran tempatan.
"Jika tidak diambil tindakan awal, saya bimbang harga durian akan jatuh melainkan durian dapat dipasarkan terus ke luar negara seperti China.
"Bagaimanapun, ketika pandemik lepas, durian tidak dapat dieksport ke China. Kita tidak mahu lambakan durian berlaku.
"Oleh itu cadangan pembinaan pusat pengumpulan hasil ini cukup penting agar isi durian dapat disejukbekukan dan dapat dipasarkan sepanjang tahun," katanya.
Pada tahun 2021, Johor mengeluarkan sebanyak 121,898 metrik tan durian, melibatkan 31,255 pengusaha dengan keluasan keseluruhan seluas 19,171 hektar dan Tangkak merupakan daerah paling banyak mengeluarkan buah tersebut.