Empat beradik ditinggalkan tiada kesan didera

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

IPOH - Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah, Khamis lalu, disahkan dalam keadaan baik.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, laporan perubatan menunjukkan tiada kesan penderaan fizikal ditemui pada kesemua kanak-kanak tersebut.

Iklan
Iklan

"Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki masing-masing 3 tahun dan 10 bulan masih menerima rawatan di hospital. Berdasarkan laporan perubatan semua okay.

Salbiah (depan, empat dari kiri) bergambar bersama hadirin yang memeriahkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri di Ipoh.

"Setakat ini, tiada lagi pihak termasuk ibunya yang tampil bertanggungjawab atas perkara ini. Pihak polis masih mengesan ahli keluarga ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah dan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

Iklan

Menurut Salbiah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menempatkan mereka ke institusi perlindungan kanak-kanak di bawah seliaan jabatan itu.

Salbiah (tiga dari kanan) melawat pengunjung yang menjalankan aktiviti pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri di Ipoh.

Sinar Harian melaporkan, empat beradik ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.

Sehingga kini polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan ibu bapa dan waris kepada adik-beradik malang itu.