VAR: 20 pengadil tempatan jalani latihan fasa tiga

Iklan
Sesi latihan VAR melibatkan 20 pengadil tempatan sebagai langkah persiapan mengadaptasi teknologi itu dalam kancah Liga-M berlangsung di Wisma FAM bermula 20 November hingga 4 Disember ini. - Foto FB FAM

SEJUMLAH 20 pengadil tempatan terlibat dengan latihan fasa tiga Video Bantuan Pengadil (VAR) bermula 20 November hingga 4 Disember ini sebagai langkah persiapan mengadaptasi teknologi itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di Facebook hari ini, memaklumkan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu dikendalikan enam pengajar FAM diketuai C Ravichandran selain Kassim Kadir Bacha, Abdul Basith Shahul Hamid, Nagor Amir Noor Mohamed, Mohd Sabri Mat Daud dan M Sivanesan.

Iklan
Iklan

Mereka turut dibantu seorang pengajar VAR Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Igor Radojcic dari Serbia.

Latihan fasa tiga VAR itu tertumpu kepada perlawanan praktikal yang dijalankan di padang Wisma FAM selain merupakan fasa terpenting kerana ia memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi VAR.

Iklan

Sesi latihan pagi tadi turut disertai dan disaksikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM serta Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan yang meluangkan masa bertemu barisan pengadil terlibat selain melihat sendiri teknologi VAR.

Sebelum ini, FAM menjangkakan VAR akan digunakan dalam saingan Liga-M pada final Piala Malaysia, Disember ini.

Iklan

Teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia ketika perlawanan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 antara Kuala Lumpur City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb, di Stadium Nasional di Bukit Jalil dengan dikendalikan sepenuhnya AFC. - Bernama