CHUKAI - Projek pembinaan Hospital Kemaman baharu di Kijal kini telah siap 75 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada Ogos tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, hospital yang melibatkan perbelanjaan RM450 juta itu akan dilengkapi 300 unit katil, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi, kompleks klinik pakar dan klinik rawatan harian.
"Bulan Ogos insya-ALLAH harapnya siap dan sebelum berakhir tahun hadapan boleh digunakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Air Putih pada Isnin.
Ditanya mengenai Hospital Kemaman sedia ada dekat sini yang masih digunakan, Dr Zaliha berkata, hospital itu akan dijadikan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kemaman, yang akan memberi keutamaan spesifik kepada dua golongan itu.
Mengenai pembangunan fasiliti kesihatan di Terengganu, Dr Zaliha berkata, sebanyak 58 klinik daif telah dikenal pasti dan daripada jumlah itu 54 klinik telah dibaiki dan dinaik taraf, manakala empat lagi akan siap selewat-lewatnya akhir tahun ini.
"Tahun hadapan pula kita rancang untuk tingkat kualiti dan kemudahan infrastruktur dan fasiliti kesihatan Terengganu melalui Belanjawan 2024, membabitkan RM175 juta melibatkan beberapa projek termasuk sembilan projek baru dan 11 projek sambungan,” katanya.
Ditanya persiapan banjir, pihaknya telah mengenal pasti beberapa fasiliti kesihatan di Terengganu yang berisiko dilanda banjir, namun persiapan awal telah diambil termasuk bersedia memindahkan pesakit terkesan ke fasiliti kesihatan lain.
Mengenai pesakit yang ingin mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini, Dr Zaliha berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), untuk membantu pesakit yang stabil menjalankan tanggungjawab mereka.
Ditanya mengenai Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, Dr Zaliha berkata, ia akan dibentangkan segera dan melibatkan beberapa pindaan.
Sebelum ini, pembentangan rang undang-undang itu yang dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Undang-undang itu bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada individu lahir selepas 2007. - Bernama