PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berhubung sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, yang ditetapkan pada Selasa, ditangguhkan ke tarikh lain.
Bagaimanapun, alasan penangguhan prosiding keputusan berkenaan belum dimaklumkan kepada pihak media.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, memutuskan dapatan kes, pada jam 9 pagi.
Menerusi sistem mahkamah, prosiding diteruskan dengan pengurusan kes.
Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu, diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin selaku perayu manakala pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kemudiannya memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.
Sementara itu, Afzainizam turut mengesahkan keputusan kes itu dilapangkan, namun prosiding akan diteruskan dengan pengurusan kes.
"Tiada alasan (setakat ini dimaklumkan mengenai penangguhan itu). Sepatutnya keputusan esok, namun masih ada pengurusan kes secara dalam talian," katanya ketika dihubungi media.