PUTRAJAYA - Pelancong dari China dan India diberikan pengecualian visa untuk masuk ke negara ini berkuatkuasa 1 Januari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menandatangani pewartaan tersebut pada 26 Disember lalu dan disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Peguam Negara.
Berdasarkan warta tersebut, pengecualian visa itu mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 dan tertakluk di bawah Subseksyen 2(1) Akta pasport 1966.
Pelancong dari negara terbabit perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu dan melakukan perjalanan dalam tempoh tiga bulan selepas mendaftar.
Tempoh masa lawatan yang dibenarkan terhad kepada 15 hari sahaja dan tidak boleh dilanjutkan.
Menerusi perintah itu juga, pelancong berkenan perlu memasuki Malaysia dan keluar dari Malaysia hanya melalui lapangan terbang yang dibenarkan atau pos kawalan imigresen.
Selain itu, pelancong terbabit tidak dibenarkan untuk memohon apa-apa pas lain di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pelancong juga mestilah mempunyai tiket penerbangan perjalanan balik terus ke Republik Rakyat China dan India atau tiket penerbangan perjalanan ke mana-mana negara jika melakukan perjalanan melalui udara.
Dalam pada itu, pelancong terbabit perlu mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai wang poket yang mencukupi, kad kredit atau kad bank dengan logo UnionPay, Alipay atau eWallet termasuk mengemukakan jadual perjalanan di Malaysia.
Pelancong terbabit juga dibenarkan untuk mendaftar semula untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari daripada tarikh meninggalkan Malaysia.