Anak perempuan Bruce Lee saman rangkaian makanan segera

Iklan
Sebuah rangkaian makanan segera China disaman kerana menggunakan imej Bruce Lee tanpa kebenaran. - Foto AFP Gambar kanan: Shannon Lee

SHANGHAI - Syarikat kendalian anak perempuan Bruce Lee menyaman sebuah rangkaian makanan segera China kerana menggunakan imej bintang filem seni mempertahankan diri itu tanpa kebenaran.

Shannon Lee yang mengambil alih Bruce Lee Enterprises daripada ibunya menuduh rangkaian restoran Kungfu Catering Management menggunakan imej bapanya selama 15 tahun dalam sebuah logo tanpa membayar hak harta intelek.

Iklan
Iklan

Bruce Lee Enterprises yang terletak di Los Angeles menguruskan perdagangan dan pelesenan imej Bruce Lee selain berhasrat mengekalkan legasi bintang filem berkenaan.

Bagaimanapun, rangkaian makanan segera itu mengatakan logo tersebut sudah lama mendapat kebenaran pihak berkuasa China.

Iklan

"Kami bingung kerana didakwa setelah sekian lama. Kami sedang mengkaji kes tersebut dan bersedia untuk memberi jawapan," kata syarikat berpengkalan di Guangzhou itu menerusi platform Weibo.

Menurut portal sina.com, Shannon Lee meminta rangkaian restoran dikenali sebagai Real Kung Fu atau Zhen Gongfu dalam bahasa Mandarin itu segera berhenti menggunakan imej bapanya.

Iklan

Rangkaian yang memiliki lebih 600 cawangan di seluruh negara itu juga diminta menjelaskan selama 90 hari berturut-turut bahawa ia tiada sebarang kaitan dengan Bruce Lee serta membayar pampasan berjumlah AS$30 juta (RM124 juta).

Ditubuhkan pada tahun 1990 namun sejak tahun 2004 logo rangkaian makanan segera itu memaparkan imej seorang lelaki berambut gelap dengan gaya kungfu mirip Bruce Lee. - AFP