KERINDUAN warga Sabah terhadap kumpulan popular Indonesia, Ungu, akhirnya 'terbayar' menerusi 18 lagu yang dipersembahkan dalam Konsert Ungu Di Bawah Bayu pada malam Sabtu lalu.
Lebih mengujakan, semua lagu yang dipersembahkan Ungu turut dinyanyikan bersama 4,700 penonton yang hadir dalam konsert yang berlangsung selama hampir dua jam di Pusat Teknologi dan Komersial Penampang (ITCC), Penampang.
Dalam sidang akhbar bersama media tempatan, vokalisnya, Pasha atau nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said tidak menyangka lagu yang menurutnya kurang popular tetapi lebih dikenali penonton di Sabah.
"Kami begitu terkejut kerana lagu-lagu 'Seperti Mati Lampu' pun mereka nyanyi. Ada beberapa lagu bagi kami mungkin tidak terlalu dikenali tetapi mereka menyanyi di sini.
"Seperti lagu 'Dirimu Satu', kita cuba bawa lagu 'Luka Di Sini' walaupun sepotong-sepotong (medley) tetapi diterima baik," katanya.
Diminta berkongsi reaksi penonton pada konsert kali ini, Pasha mengakui persembahan mereka mendapat sambutan luar biasa oleh peminat Ungu di Sabah.
"Kita semua puas hati dan senang. Mungkin sekali lagi kita boleh buat konsert di tempat yang besar seperti di stadium," katanya.
Katanya lagi, selepas lapan tahun tidak mengadakan persembahan di Kota Kinabalu sudah tentu pelbagai perbezaan yang dilakukan.
"Sudah pasti berbeza, tempatnya berbeza, konsepnya berbeza lagunya juga bertambah. Lapan tahun bukan waktu yang sekejap.
"Kita sudah rindu, tidak sabar untuk mengadakan konsert lagi di Kota Kinabalu. Kerana Kota Kinabalu adalah tempat dimana berdasarkan peminat Ungu yang besar dan terbukti selepas lapan tahun pun mereka masih menyebut Ungu dengan hangat, rasa cinta, kasih dan rindunya sehingga terbayarlah semua kerinduan peminat di Kota Kinabalu," katanya.
Tambah Pasha lagi, beliau menganggap keberadaan Ungu di atas pentas selama hampir dua jam tanpa henti adalah demi menunaikan tanggungjawab kepada peminat mereka.
"Ini adalah pekerjaan, sebagai ibadah. Sesuatu yang kemudian harus memberi manfaat kepada sesiapa pun yang hadir pada konsert ini.
"Mereka datang membeli tiket, sudah siapkan waktu kerana ada yang datang dari Kuala Lumpur, dari Sarawak bahkan ada yang datang dari Brunei untuk menonton Ungu.
"Kami harus hargai perjuangan mereka jadi kita berikan yang terbaik. Apa yang kami tampilkan tidak mengecewakan peminat," katanya.
Selain Pasha, Ungu yang turut dianggotai oleh Makki, Oncy, Rowman dan Enda mempersembahkan pelbagai lagu mereka yang popular termasuk Andaiku Tahu, Percaya Padamu, Kekasih Gelapku, Demi Waktu dan beberapa lagu lagi dinyanyikan secara medley.
Pasha turut memberi peluang salah seorang peminat berduet menyanyikan lagu Terlanjur Cinta yang didendangkan bersama Rossa sebelum ini.