TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan minat untuk merintis sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Jepun dalam bidang sukan dan ekonomi.
Segmen dalam arena sukan melibatkan pelaburan dan pembelian saham kelab bola sepak di negara matahari terbit itu.
Minat tersebut ditunjukkan menerusi pertemuan dengan wakil Liga Jepun (J League) iaitu Pegawai Eksekutif Korporat (Perniagaan Global), Tetsuya Aida dan Pengurus Besar Takeyuki Oya pada Isnin.
"Tunku Ismail telah mengadakan pertemuan dengan wakil J League di Tokyo pada Isnin bagi membincangkan kemungkinan baginda melabur dan membeli saham dalam bola sepak Jepun,” tulis satu kenyataan menerusi Facebook Johor Southern Tigers.
TMJ diiringi Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dan Ketua Unit Komersial JDT, Kevin Ramalingam dalam pertemuan tersebut.
Tunku Ismail berada di Jepun sempena aksi kelima Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara JDT dan Kawasaki Frontale pada Selasa.
Malah lebih menarik kehadiran baginda juga mahu memperluaskan lagi jenama JDT ke Asia Timur selain mengundang pelaburan firma-firma besar Jepun ke negeri Selatan tanah air itu.
"Antara objektif adalah termasuk mengembangkan jenama JDT ke Asia Timur dan menarik syarikat-syarikat besar Jepun untuk melabur di Johor,” katanya.
JDT dalam misi wajib menang ke atas Frontale bagi memastikan Harimau Selatan kekal bersaing dalam saingan tertinggi kelab bola sepak Asia itu.
Saingan bola sepak terbesar Asia itu juga menjadi platform terbaik bagi TMJ untuk mempromosikan potensi Harimau Selatan yang semakin dikenali di Asia serta potensi negeri Johor sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Sebagai rekod, JDT ketika ini menghuni tangga ketiga Liga Juara-Juara Asia dipisahkan enam mata dengan pendahulu kumpulan, Kawasaki.
Saingan domestik pula, skuad kendalian Esteban Solari, yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat 10 kali berturut-turut pada September lalu, kini memimpin liga dengan 70 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.