Town Hall Rakyat bersama Menteri Kerja Raya

Iklan

SHAH ALAM - Town Hall Rakyat kembali menemui penonton Sinar Harian dengan menampilkan seorang lagi menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan iaitu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, ia adalah kali pertama pentas berkenaan menampilkan jemaah menteri dari Sarawak.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebuah kementerian yang dekat dengan rakyat terutamanya pembangunan infrastruktur awam seperti jalan raya dan lebuh raya, Town Hall Rakyat dijangka mendapat sambutan luar biasa.

"Menerusi program ini juga, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperkenalkan aplikasi baharu kementerian iaitu MyJalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurut Zamri, Town Hall Rakyat edisi kelapan bakal berlangsung pada Rabu ini akan bersiaran secara langsung pada jam 5 petang.

Tambahnya, pentas diskusi berkenaan turut membawa kelainan dengan menampilkan pelakon terkenal, Fikri Ibrahim sebagai wajah baharu yang menjadi hos bual bicara.

Iklan

Pada masa sama, Zamri berharap orang ramai bersama-sama hadir memeriahkan program dan mengajukan soalan kepada tetamu Town Hall Rakyat.

"Harapan saya sudah tentunya mahu melihat program ini menjadi jambatan baik kepada kerajaan, agensi berkaitan dan tokoh bersama rakyat.

"Town Hall Rakyat juga diharap dapat memberi impak baik kepada masyarakat terutamanya budaya berfikir dan kritikal serta berani melontarkan pendapat,” ujarnya.

Dalam pada itu, acara tersebut akan turut membabitkan pameran daripada agensi di bawah KKR seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memberi lebih banyak informasi kepada orang ramai.

Menerusi reruai KKR, orang ramai bakal didedahkan dengan kempen dan juga pengenalan mengenai aplikasi MyJalan.

JKR pula akan mempromosikan Hari Profesional Teknikal Negara 2023 manakala LLM mempamerkan informasi berkenaan sistem pembayaran terbuka.

Sebagai makluman, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.