SEREMBAN - Jika dilihat pada saiznya, siapa sangka harga sebuah basikal mini jenama Moulton ada yang sama nilainya dengan sebuah rumah.
Dengan harga yang mencecah sehingga RM120,000, menyebabkan tidak ramai yang memiliki basikal buatan dari England berkenaan.
Salah seorang pemiliknya, Ku Abd Aziz Ku Sulong, 62, berkata, difahamkan, di Malaysia tidak sampai 200 individu yang memiliki basikal unik tersebut.
"Basikal ini tidak dijual di kedai basikal biasa dan harganya mengikut model bermula RM10,000 hingga RM40,000 manakala yang harga boleh mencecah RM120,000 itu disebabkan ia perlu ditempah khas di England.
"Oleh sebab itulah basikal ini dilihat agak eksklusif dan tidak keterlaluan jika ia dikatakan basikal mini harga kayangan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui menyertai kayuhan basikal Moulton di Seremban Sabtu lalu.
Menurutnya, jenama basikal Moulton yang pertama dikeluarkan pada tahun 1963 dan dikatakan lain dari yang lain kerana reka bentuk bingkai yang bergeometri, beroda kecil, dan memiliki suspensi depan serta belakang.
Ujarnya, basikal itu juga mempunyai nilai yang tinggi dan masih mampu dijual pada harga seperti mana ketika ia baru dibeli.
"Sebab itulah saya tertarik nak sertai kayuhan basikal ini kerana ini peluang untuk mengenali lebih ramai pemiliknya di negara ini," katanya.
Penganjur kayuhan, Abdul Rahman SM Salleh, 58, pula berkata, seramai 35 peserta dari pelbagai negeri terlibat dalam kayuhan tersebut.
Ujarnya, sebelum ini kayuhan komuniti pemilik Moulton diadakan hampir setiap tahun bermula tahun 2012, namun terhenti disebabkan pelbagai faktor termasuk
"Selain perintah kawalan pergerakan (PKP), pemilik basikal model ini tidak ramai berbanding basikal lain menjadi faktor sukar untuk mengumpulkan peminat dari seluruh Malaysia sejak beberapa tahun ini.
Selain itu perintis komuniti pemilik Moulton, Swofinty Yik, 45, berkata, walaupun saiznya kecil, basikal Moulton masih memegang rekod dunia basikal paling laju yang dicatatkan pada 1986.
"Penunggangnya juga rasa seperti kayuh basikal besar bukannya basikal bersaiz kecil.
"Ia juga tahan lasak seperti salah sebuah basikal milik saya yang sudah berusia lebih 30 tahun. Ada pengumpul di Malaysia yang mempunyai Moulton yang dikeluarkan pada 1964 dan masih berada dalam keadaan baik," katanya.