TONGGAK pertahanan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies berazam membantu skuad Harimau Selatan itu meraih keputusan positif pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika berdepan pendahulu Kumpulan I, Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki Athletics, petang ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu tidak menafikan bahawa skuad Harimau Selatan itu bakal menerima tentangan sengit daripada gergasi Liga-J itu di sepanjang perlawanan.
"Sebenarnya kami tidak sabar untuk beraksi kerana ia merupakan kali keempat kami berdepan Kawasaki (Frontale) dalam tempoh dua tahun.
"Namun, semua orang tahu mereka adalah pasukan yang kuat tetapi dalam masa sama, kami tidak sesekali mengambil mudah kerana kami tahu perlawanan kali ini pastinya lebih sukar berbanding sebelum ini.
"Oleh itu, kami akan berikan aksi yang terbaik seperti yang selalu dikatakan oleh jurulatih (Esteba Solari), kami perlu berikan sepenuh tumpuan kerana perlawanan ini agak penting dan ia ibarat perlawanan akhir,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Untuk rekod, JDT tewas 0-1 kepada skuad Azzuro Nero itu pada aksi ACL di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.
Kawasaki Frontale kini selesa memimpin Kumpulan I dengan 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut berbanding JDT yang berkongsi enam mata dengan Ulsan Hyundai setelah mengharungi empat perlawanan.
Sementara itu Matt Davies turut berharap agar rakan-rakan sepasukan juga memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi meraih keputusan positif berdepan Kawasaki Frontale.
Katanya, skuad Harimau Selatan itu tidak boleh melepaskan sebarang mata apabila berdepan gergasi Liga Jepun itu jika mahu mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.
"Biarpun dari segi persiapan, kami agak kurang beraksi dalam perlawanan-perlawanan berintensiti tinggi seperti mereka, namun kami akan tetap cuba berikan aksi yang terbaik pada perlawanan ‘hidup mati’ ini,” katanya.