PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, menetapkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sama ada dibebaskan atau kekal dihukum penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, pada 31 Januari tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan perkara itu, selepas prosiding sebutan rayuan berkenaan, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Huda Humaira Idris.
Menurutnya, pada tarikh itu, Isa selaku perayu akan hadir ke prosiding yang dibuat secara fizikal bersama peguamnya.
Pada Isnin, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan Isa terhadap hukuman penjara dan denda itu, ke tarikh lain.
Bagaimanapun, alasan penangguhan prosiding keputusan berkenaan belum dimaklumkan kepada pihak media.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, memutuskan dapatan kes, pada jam 9 pagi.
Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan sebagai responden oleh Afzainizam.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.