SEREMBAN - Tindakan dua sindiket pengedaran rokok seludup menggunakan label cukai palsu untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar apabila perbuatan mereka berjaya dipatahkan dalam operasi berasingan pada awal bulan ini membabitkan nilai cukai hampir RM5 juta.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, serbuan pertama pada 15 November lalu, jam 1.30 petang itu berjaya menahan sebuah lori jenis kanvas dipandu seorang lelaki tempatan di kilometer 441.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 298 peti berisi 14,900 karton rokok dan kesemua rokok yang dijumpai mempunyai label cukai palsu.
"Serbuan kedua pada hari sama dilakukan pada jam 4.30 petang membabitkan sebuah lori kanvas juga dipandu seorang lelaki tempatan di Kilometer 342.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Arah Selatan.
"Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 353 peti dengan 17,650 karton rokok didapati tiada label cukai dan kedua-dua kes ini disyaki barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya sidang akhbar di JKDM Negeri Sembilan pada Selasa.
Mohammad Hafiz berkata, jumlah nilai sitaan rokok bagi kedua-dua kes tersebut dianggarkan sebanyak RM556,100 dan cukai yang terlibat dianggarkan hampir RM5 juta.
"Dua pemandu lori berusia lewat 30-an itu turut ditahan bagi membantu siasatan dan rokok berkenaan pula dipercayai di import dari luar negara untuk dipasarkan di negara ini," katanya.
Katanya, modus operandi kes ini, rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari utara untuk dijual di pasaran tempatan dengan harga yang murah.
"Sindiket akan menggunakan label cukai yang palsu pada rokok dengan niat mengaburi mata pihak penguat kuasa dan kenderaan seperti lori kanvas bagi tujuan mengedarkan rokok-rokok tersebut ke pasaran tempatan untuk dijual pada harga yang murah.
"Kes ini seterusnya disiasat disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976," katanya.
Dalam pada itu katanya, orang awam digesa untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.