Tiga mata berharga Fulham

Iklan
Willian (depan) meledak dua gol ketika membantu Fulham mengalahkan Wolves 3-2 dalam aksi EPL awal pagi Selasa. - Foto AFP

JURULATIH Fulham, Marco Silva boleh menarik nafas lega apabila meraih tiga mata berharga selepas mencatat kemenangan ke atas Wolverhampton Wanderers 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Selasa.

Silva memuji karakter anak-anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk memburu kemenangan sehingga ke wisel penamat.

Iklan
Iklan

"Kemenangan ini sangat penting bagi kami. Selepas kekalahan berturut-turut yang sangat sukar, ini sesuatu yang tidak biasa berlaku dan kali pertama musim ini.

"Kami memulakan permainan dengan sangat baik dan itulah Fulham yang saya sangat mahu lihat - kualiti, ketajaman.

Iklan

"Pemain menunjukkan semangat untuk menang dan menjaringkan gol, mendahului 2-1 dan kemudian untuk 3-2. Kami berhak mendapat tiga mata,” katanya.

Dalam aksi itu, pemain sayap Brazil, Willian menjadi duri dalam daging buat Wolves apabila meledak dua gol.

Iklan

Fulham terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Alex Iwobi pada minit ketujuh dan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-22 melalui Matheus Cunha.

Willian kemudian menunjukkan bisanya apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada awal babak kedua sebelum Wolves kembali menyamakan kedudukan juga melalui penalti yang disempurnakan dengan baik oleh Hwang Hee-chan.

Ketika kedudukan 2-2, pengadil Michael Salisbury menghadiahkan penalti ketiga perlawanan selepas semakan video pembantu pengadil (VAR).

Willian kemudian mengesahkan kemenangan Fulham menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Ia merupakan kemenangan pertama Fulham sejak awal Oktober sekali gus melebarkan jurang kepada 10 mata di atas zon penyingkiran.