Anggota JPJ menyamar pantau pemandu lori

Iklan
Azrin (kanan) melihat sebuah lori menjalani ujian timbangan berat semasa Ops Patuh Bersepadu JPJ dan JSPT di Plaza Tol Bandar Gamuda Cove pada Selasa.

KUALA LANGAT - Taktik penyamaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan empat buah kenderaan tanpa logo jabatan berjaya menahan sejumlah lori yang melakukan kesalahan jalan raya menerusi Ops Patuh Bersepadu yang dilakukan pada Selasa.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan penyamaran tersebut ternyata membuahkan hasil apabila 22 buah lori ditahan dan diarahkan melakukan timbangan berat muatan.

Azrin (kanan) melihat sebuah lori menjalani ujian timbangan berat semasa Ops Patuh Bersepadu JPJ dan JSPT di Plaza Tol Bandar Gamuda Cove pada Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lori paling berat yang ditahan dalam operasi itu adalah membawa muatan 'pilling' iaitu 79.25 peratus melebihi daripada had muatan dibenarkan.

"Ini merupakan satu kejayaan yang agak memberangsangkan bagi JPJ kerana berjaya menahan sejumlah besar kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan jalan raya.

Iklan

"Hasil intipan yang dilakukan oleh kumpulan penyamaran JPJ tersebut dan kemudiannya bertindak memaklumkan kepada anggota operasi berjaya menahan kenderaan bermasalah," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Ops Patuh Bersepadu JPJ dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Plaza Tol Bandar Gamuda Cove, dekat sini.

Iklan

Ops Patuh Lebuh Raya yang bermula jam 12.10 malam dan berakhir 10 pagi itu disertai 40 anggota dan pegawai JPJ, selain turut dibantu oleh tujuh petugas PDRM.

Operasi dilakukan di Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuh Raya Elite serta Lebuh Raya Gutrie.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, dalam operasi itu, sebanyak 98 kenderaan lain telah dikenal pasti melakukan kesalahan termasuk lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen vokasional (GDL), tanpa lesen memandu (CDL), tiada insurans kenderaan serta kesalahan teknikal.

Selain itu menurut beliau, sebanyak 98 notis dikeluarkan kepada pesalah jalan raya pada operasi tersebut.

Sementara itu mengulas kolabrasi strategik Ops Patuh Bersepadu JPJ dan JSPT yang bermula 1 November hingga hari ini, kata beliau, jumlah kenderaan yang diperiksa sebanyak 177,396.

Katanya, sejumlah 8,371 kenderaan telah diambil tindakan dan sebanyak 24,797 notis dikeluarkan.

Jelas beliau, kesalahan teknikal mencatat jumlah tertinggi dengan 8,640 dan diikuti oleh tiada LKM atau tamat tempoh serta tiada insurans kenderaan sebanyak 3,667.