Laporan audit subsidi minyak masak siap Januari

Iklan
Armizan - Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Laporan penuh audit subsidi minyak masak dijangka siap sepenuhnya penghujung Januari depan bagi menangani masalah ketirisan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, audit secara menyeluruh itu dilaksana sejak Oktober lalu bagi melihat secara menyeluruh pelaksanaan subsidi di peringkat daerah dan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya tidak nafikan wujudnya ketirisan subsidi minyak masak ini," katanya.

Menurutnya, dengan audit tersebut kerajaan dapat membuat rumusan keperluan sebenar dan kaedah untuk memperkemaskan subsidi.

Iklan

"Perlu ada suatu mekanisme untuk mengurangkan ketirisan dan penyelewengan," katanya menerusi sidang akhbar sempena Simposium Kos Sara Hidup 2023 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, peruntukan subsidi minyak masak RM500 juta bagi tahun ini namun unjuran meningkat empat kali ganda iaitu RM1.9 bilion.

Iklan

"RM500 juta yang hanya cukup untuk dua bulan Januari dan Februari tapi kita unjurkan penghujung tahun ini kita perlukan RM1.9 bilion hanya untuk subsidi minyak masak," katanya.

Sementara itu, Armizan berkata jemaah menteri telah membuat keputusan dasar mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar minyak petrol RON95 yang dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan keputusan dasar tersebut.

Ujarnya, mekanisme secara menyeluruh pelaksanaan subsidi itu akan dibentangkan terlebih dahulu oleh Kementerian Ekonomi dalam mesyuarat jemaah menteri.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Isnin berkata, kerajaan akan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2024.

Keputusan itu bagi memastikan subsidi secara bersasar disalurkan kepada golongan paling memerlukan dan mengoptimumkan sumber.

RON95 disubsidi kerajaan dengan bahan bakar itu dijual RM2.05 seliter.