Perak bentang belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan negeri Jumaat ini

Iklan
Mohammad Zahir (tengah) dalam sidang akhbar pada Selasa.

IPOH - Pembentangan Belanjawan 2024 antara yang mencuri tumpuan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bermula Jumaat ini.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pembentangan belanjawan tersebut adalah yang pertama bagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri.

Mohammad Zahir (tengah) ketika meninjau persiapan Dewan Negeri bagi Persidangan DUN Perak yang bermula Jumaat ini.

Iklan
Iklan

"Saya rasa ini belanjawan pertama daripada Kerajaan Perpaduan negeri dan ini sesuatu yang sepatutnya mengujakan kerana belanjawan yang lepas (diluluskan) serta-merta selepas pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.

Persidangan DUN Perak dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 1 hingga 8 Disember depan.

Iklan

Mohammad Zahir berkata, Belanjawan negeri (Enakmen Perbekalan 2024) akan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peluang untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan nanti.

"Bagi menambah baik kedudukan Dewan, empat skrin LED disediakan untuk memudahkan paparan info grafik semasa pembentangan belanjawan dibuat nanti," katanya.

Beliau berkata, selain belanjawan, Dewan Negeri turut menerima satu lagi usul berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 untuk dibawa dalam mesyuarat kali ini.

Katanya, seramai enam ADUN terlibat bagi sesi perbahasan RUU tersebut.

"Sesi perbahasan bermula hari kedua persidangan iaitu pada Isnin (4 Disember).

"Setakat ini, tiada usul persendirian dibuat dan tiada kejutan, semuanya baik, jadi kita hanya tunggu belanjawan sahaja," katanya.

Pada 22 Disember 2022, Perak membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.

Belanjawan yang bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi sembilan kerusi, PH sebanyak 24 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN yang dipertandingkan.

BN dan PH Kemudiannya menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu Perak dengan majoriti 33 kerusi DUN.