KOTA BHARU - Sebanyak 27,000 jawatan polis bantuan sudah diluluskan daripada 60,000 kekosongan perjawatan yang perlu diisi oleh agensi atau syarikat yang memohon setakat ini, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail.
Beliau berkata, walaupun jumlah perjawatan yang diluluskan tidak mencapai 50 peratus, pihak polis akan terus mengadakan pertemuan dengan agensi dan syarikat berkaitan bagi membincangkan isu perjawatan terbabit yang gagal dipenuhi.
"Daripada maklumat yang kita peroleh, terdapat agensi yang memohon hingga 60 permit tetapi hanya mengisi 10 perjawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) Ke-34 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Aidi berkata, agensi yang terlibat perlu memberi alasan munasabah berkenaan kekosongan itu dan perlu melihat kekuatan yang diperlukan sebelum memohon lesen atau permit penubuhan polis bantuan.
"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap agensi berkaitan sekiranya alasan yang diberikan tidak munasabah termasuk pembatalan lesen.
"Setakat ini juga, 246 agensi atau syarikat sudah menjadi ahli MAPA dan kita amat mengalu-alukan kerjasama yang diberikan pihak itu," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes salah laku melibatkan polis bantuan, Aidi berkata, jumlahnya terlalu kecil membabitkan kes jenayah seperti dadah dan membawa kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan.
"Dari segi peraturan, polis bantuan tidak dibenarkan untuk menjadi pengiring kepada ketua agensi, menggunakan geran tanpa kelulusan polis atau membawa senjata api tanpa kebenaran.
"Agensi atau syarikat juga tidak dibenarkan komersialkan polis bantuan termasuk membuat sewaan demi mencari keuntungan, tindakan tegas boleh dikenakan sekiranya didapati menggunakan polis bantuan sebagai pengawal keselamatan dan mengenakan bayaran pula kepada pihak lain," katanya. - Bernama