Lawatan kerja ke Vietnam bincang isu berkait keselamatan - Mohamad

Iklan
Mohamad ketika ditemu bual selepas merasmikan Jualan Agro Madani dan Hari Bertemu Pelanggan Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau di Dewan Agora Rembau pada Selasa. - Foto Bernama

REMBAU - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan akan melakukan lawatan kerja ke Vietnam Ahad ini, bagi membincangkan beberapa isu berkaitan keselamatan dengan rakan sejawatnya di negara itu.

Mohamad berkata, selain itu, memorandum persefahaman (MoU) berkenaan keselamatan pertahanan juga dijangka ditandatangani sempena lawatan itu nanti.

Iklan
Iklan

"Terdapat perkara lain akan dibincangkan, antaranya isu keselamatan perairan kedua-dua negara, keselamatan nelayan, isu pencerobohan dan penangkapan ikan di Laut China Selatan.

"...berunding lebih mudah daripada bertembung, itu diplomasi pertahanan yang saya amalkan supaya kita di Rantau Asia Tenggara terus mengamalkan dasar terbuka, Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali dan zon Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani dan Hari Bertemu Pelanggan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, sepena lawatan itu, beliau juga dijangka bertemu dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau itu turut mencadangkan jualan Agro Madani terus diperluaskan, dengan ahli pertubuhan peladang mengambil peranan menjual barangan segar dan keperluan asas secara terus kepada pengguna, dengan harga berpatutan.

Iklan

Beliau berkata, ahli PPK mampu memainkan peranan itu melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dalam usaha membantu kerajaan menangani masalah kos sara hidup rakyat di negara ini.

"Usaha ini dapat membekalkan makanan mencukupi untuk kegunaan harian, daripada terus bergantung dengan barangan diimport, jadi ahli PPK digalakan mengusahakan unit masing-masing.

"Contohnya di Rembau, banyak tanah terbiar sebab ada tanah adat dan pusaka... kalau tanah adat itu tidak berpunya, kita sedekah kepada masjid atau baitulmal, supaya ia dapat membantu golongan fakir miskin bagi mengusahakan tanah terbiar, serta mengeluarkan banyak bahan makanan,” katanya. - Bernama