PUCHONG - Pujukan dan tindakan pantas sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang warga Mesir daripada cubaan membunuh diri di sebuah pangsapuri di Jalan Puchong Batu 13 1/2 di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan menjerit lebih 30 minit dan mengugut untuk terjun dari tingkat lapan pangsapuri tersebut.
Kejadian itu kemudian dimaklumkan orang ramai kepada pihak polis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 9.17 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong tiba di lokasi 9 minit kemudian.
"Laporan awal memaklumkan seorang lelaki cuba terjun dari tingkat lapan pangsapuri berkenaan.
"Hasil pujukan anggota bomba hampir 10 minit, mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Punca lelaki itu cuba terjun masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, saksi di lokasi kejadian yang enggan dikenali berkata, terdengar jeritan lelaki itu dari jarak 100 meter di kedai makan yang dikunjunginya.
Menurutnya, dia yang bergegas ke lokasi dan menghampiri pangsapuri mendapati terdapat seorang lelaki di beranda perumahan bertingkat itu.
"Memang agak mendebarkan apabila nampak dia berdiri di luar beranda sambil menjerit-jerit.
"Saya rasa lega bila nampak lelaki tu berjaya dipujuk dan diselamatkan, namun tindakannya itu agak menyusahkan pihak berkuasa," katanya.