PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) melucutkan keahlian Persekutuan Sepaktakraw Singapura (Perses) berikutan salah laku dalam kalangan pucuk kepimpinan persekutuan itu.
Menurut Istaf, keputusan itu diputuskan jawatankuasa eksekutif badan induk antarabangsa tersebut yang bersidang di Kuala Lumpur pada 4 November lalu.
Perses digantung sehingga tempoh yang akan maklumkan manakala presidennya, Mohd Nasri Haron dan Setiausaha Agung, Zahid Abdul Aziz masing-masing menjalani hukuman penggantungan 12 dan tujuh tahun.
"Penggantungan ini dibuat selepas menjalani prosiding tatatertib Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) yang mendapati wujud pelanggaran peraturan serius,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Keputusan penggantungan itu menyaksikan Perses perlu memastikan presiden dan setiausaha agung mengosongkan pejabat dalam tempoh 90 hari.
Selain itu, mereka juga dilarang untuk terlibat dalam sebarang pengurusan atau aktiviti Perses.
"Namun mereka masih lagi terlibat dalam aktiviti persatuan termasuk Mesyuarat Agung Tahunan pada 14 Oktober dan ini jelas melanggar hukuman yang dikenakan oleh Astaf.
"Tindakan Presiden dan Setiausaha Agung Perses tersebut jelas tidak menghormati ketetapan Istaf malahan sikap mereka seolah-olah mencabar keesahan hukuman yang dikenakan.
"Tindakan itu jelas menunjukkan wujud pelanggaran Perkara-Perkara dalam Perlembagaan Perses yang dilihat menjejaskan integriti dan piawaian tadbir urusnya,” menurut Istaf.