MELAKA - Melaka Sentral akan segera melakukan baik pulih bumbung bocor serta saluran air hujan yang mengalami kerosakan susulan sebuah video tular pada Isnin.
Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd, Datuk Hasnoor Husin, kerja-kerja baik pulih terutama di bahagian bas ekspres dianggarkan membabitkan kos berjumlah RM40,000.
Menurutnya, selain masalah kebocoran, bangunan itu juga berdepan dengan isu mendapan yang belum ada penamatnya dan penyelesaian menerusi perancangan pembina sebuah terminal bas di kawasan parkir kenderaan bermula suku pertama tahun depan.
"Itu perancangan kita yang mana terminal bas itu akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.
"Kita sedar bahawa sangat penting pintu masuk ke Melaka melalui (Melaka Sentral) menjadi satu daya tarikan, kita akan buat beberapa promosi dan penambahbaikan termasuk kerosakan tular yang diadukan kepada kita," katanya ketika ditemui di Melaka Sentral di sini, pada Selasa.
Jelasnya, pembinaan terminal baharu sekali gus dapat memudahkan pihaknya untuk membangunkan semula bangunan yang semakin berdepan dengan masalah mendapan.
"Setakat ini terdapat tiga pemaju menyatakan minat untuk membina semula Melaka Sentral di tapak baharu melibatkan kos kira-kira RM900 juta.
"Kertas kerja telah pun diproses dan keputusan di peringkat ahli jawatankuasa penswastaan yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan ini," katanya.
Ujarnya, kewujudan terminal baharu mampu menampung sehingga 1,000 trip perjalanan bas sehari berbanding terminal sedia ada menampung sebanyak 220 trip dengan jumlah 4,500 penumpang sehari.