JOHOR Tigris menafikan hasrat penyandang juara Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup, Penang Black Panthers untuk melakar kemenangan hatrik apabila menjinakkan wakil utara itu pada aksi final di Iskandar Studio Malaysia, Johor, hari ini.
Regu Johor Tigris, Muqlis Borhan - Mohd Farid Abd Aziz - Noraizat Nordin menewaskan gandingan Farhan Adam - Azlan Alias - Adam Aiman Zainol, 21-10, 21- 13 sekali gus menebus kekalahan 21-10, 21-19 pada saingan peringkat Kumpulan B sebelum ini
Turun sebagai pasukan bukan pilihan, Johor Tigris dengan status naib juara Kumpulan B terlebih dulu menewaskan juara STL 2019 Perak Bison 21-14, 21-17 pada separuh akhir kelmarin untuk melangkah ke final.
Semuanya tampak serba menjadi buat Johor Tigris apabila servis, rejaman tekong dan pertahanan mereka berjaya menghasilkan mata pada ketika lawan Penang Black Panthers kurang menyengat dengan melakukan beberapa kesilapan mudah di samping servis tekong mereka mudah dikembalikan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Johor Tigris Ahmad Jais Baharum berkata, para pemainnya berjaya mempamerkan aksi berkualiti pada masa sama beberapa kesilapan dilakukan Penang Black Panthers turut menyumbang mata kepada tuan rumah.
"Ini antara faktor kejayaan pasukan kami selain sokongan padu penyokong Johor Tigris di Iskandar Studio Malaysia.
"Sebelum perlawanan akhir saya pesan kepada pemain saya bahawa Penang Black Panthers merupakan pasukan kuat yang membariskan pemain kebangsaan dan pastinya ia memberikan tekanan kepada mereka tetapi kita perlu kekal positif serta berusaha sebaik mungkin menyaingi pasukan itu.
"Apa yang kita usahakan selama ini membuahkan hasil di mana bermula tahun lepas pada saingan Liga Premier Sepak Takraw (STL), Johor Tigris menamatkan saingan di tempat keenam dan tahun ini di tempat ketiga. Begitu juga STL Champions Cup tahun lepas kita gagal melepasi kumpulan tetapi tahun ini alhamdulillah kita muncul juara,” katanya.
Sementara itu, Striker Penang Black Panthers, Azlan Alias berkata, beliau akur dengan kehebatan Johor Tigris kali ini yang sekali gus menafikan percubaan mereka untuk membawa pulang kejuaraan buat kali ketiga ke bumi Pulau Mutiara.