GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng memohon kepada kerajaan supaya peruntukan RM500,000 setahun untuk kesemua ADUN kerajaan ditambah kepada RM800,000, sama seperti di Selangor.
Guan Eng berkata, perkara itu dicadangkan, memandangkan prestasi kewangan kerajaan negeri dilaporkan mencapai prestasi baik dan tidak ada sebab mengapa peruntukan ADUN kerajaan tidak boleh ditambah, demi memberikan manfaat yang lebih kepada rakyat.
"Sebagai negeri yang dianggap sama maju dengan Selangor, tidak ada sebab kita kalah dari aspek peruntukan pembangunan kawasan. Kalah kepada Selangor dari segi elaun dan ganjaran wakil rakyat tak apa, tetapi janganlah untuk pengundi kita di Pulau Pinang kalah kepada Selangor dalam aspek peruntukan pembangunan,” katanya semasa membahas menyokong Belanjawan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang mengekalkan peruntukan kepada ADUN kerajaan iaitu RM500,000, manakala ADUN pembangkang sebanyak RM60,000 setahun.
Sementara itu, Guan Eng berkata, penting bagi kerajaan negeri menyokong penubuhan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang, sama seperti dengan apa yang diumumkan di Johor Bahru, Johor kerana ia bukanlah sesuatu yang memudaratkan atau negatif untuk negeri.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri membuat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sokongan sebulat suara daripada semua ADUN Pulau Pinang termasuk daripada pembangkang, maka peluang untuk diluluskan adalah lebih baik dan memanfaatkan masa depan negeri.
"Kalau boleh satu untuk selatan, mengapa tidaknya satu lagi untuk kawasan utara? Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) menyatakan perlu sedikit masa untuk membuat kajian dan saya syorkan agar Zon Kewangan Khas disetuju terima dengan segera, kerana bukanlah sesuatu yang memudaratkan atau negatif untuk Pulau Pinang dan harus dipersetujui.
"Saya tak rasa semua ADUN termasuk pembangkang tak menentang kan (Zon Kewangan Khas) dan (nampaknya) disambut sebulat suara semuanya... sokong Zon Kewangan Khas ok baik, kalau setuju jelas sokongan sebulat suara Pulau Pinang diluluskan lebih baik dan memanfaatkan masa depan negeri,” katanya.
Guan Eng berkata, memandangkan Pulau Pinang kini mempunyai critical mass dengan asas industri pembuatan yang matang, ini akan memacu pembangunan dan merancakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan bukan sahaja di wilayah utara, tetapi untuk seluruh negara.
"Dengan cukai 15 peratus dan juga visa kemasukan berulang kali, ia akan menarik pekerja berkepakaran tinggi dan juga menyekat aliran keluar rakyat Malaysia yang berbakat tinggi,” katanya. - Bernama