Azizulhasni prospek pingat

Iklan
Azizulhasni mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia 2017 di Hong Kong.

JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang masih menjadi sandaran terbaik membawa pulang pingat pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Biarpun atas kertas belum mengesahkan tiket Olimpik 2020, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) secara dasarnya melihat Azizulhasni sebagai prospek meraih pingat pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

Iklan
Iklan

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman menjadi satu-satunya harapan skuad berbasikal negara menjelmakan kilauan pingat di Tokyo.

"Kita lihat Azizulhasni masih kuat dan sangat berpotensi untuk menang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Di Cambridge, New Zealand awal bulan ini, Azizulhasni telah muncul sebagai pemenang dan menggondol pingat emas menerusi acara keirin pada Piala Dunia Trek 2019.

Iklan

"Bagi saya secara realitinya, Azizulhasni sangat berpotensi untuk mengulangi persembahannya ketika menggondol pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Saya sangat positif dalam hal ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Terdahulu, kem berbasikal negara berdepan situasi cemas selepas Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 mengalami insiden kemalangan ketika bersaing pada siri kelima Piala Dunia di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia.

Iklan

Mujur pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 31 tahun itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius, sekali gus membuka peluangnya memburu tiket Olimpik 2020.

"Saya terima WhatsApp dan pesanan ringkas daripada ramai pihak yang bertanyakan khabar Azizulhasni. Ramai yang berdebar-debar apabila mendengar Azizulhasni terjatuh sehingga diberitakan cedera parah.

"Alhamdulillah saya difahamkan Azizulhasni kini sudah semakin pulih dan bersedia untuk menghadapi kejohanan akan datang bagi mengutip mata kelayakan Olimpik.

"Apa yang mampu kami lakukan sekarang ialah berdoa kepada Allah dan berharap agar Azizulhasni segera pulih daripada kecederaan dan dapat menunjukkan prestasi cemerlang sebelum beraksi di Tokyo nanti,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Abu Samah turut berharap seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuat penampilan di pentas Olimpik 2020.

"Apapun kita perlu tunggu penampilannya pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman Februari depan. Jika dia layak selain Azizulhasni, kami akan mempunyai wakil dalam acara keirin dan pecut,” ujarnya.

.