MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 10.17 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2023, naik 21.6 peratus tahun ke tahun, walaupun Oktober pada amnya bukan tempoh kemuncak untuk melancong.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali lapangan terbang itu berkata, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik untuk rangkaian lapangan terbangnya mencatatkan 5.1 juta dan 5.0 juta penumpang, masing-masing naik 40.3 peratus dan 7.0 peratus, berbanding bulan sama pada tahun lepas.
Katanya, angka pada Oktober telah mencecah lebih 87 peratus daripada paras sebelum pandemik untuk sektor antarabangsa dan domestik.
"Pergerakan penumpang di Malaysia terus menunjukkan pemulihan trafik yang stabil sejajar dengan peningkatan kapasiti tempat duduk secara berperingkat apabila syarikat penerbangan secara progresif mengatasi kekurangan pesawat berikutan cabaran dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (sektor).
"Kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan antarabangsa yang ditawarkan pada Oktober 2023 meningkat 3.3 peratus, lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya, menjadikan pergerakan penumpang antarabangsa kepada 3.4 juta, pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus berbanding September 2023,” katanya.
Qatar Airways meneruskan perkhidmatan harian dari Doha-Phuket-Pulau Pinang manakala Thai Airways International memulakan perkhidmatan harian baharu ke Bangkok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, katanya.
Bagi prestasi Januari-Oktober, MAHB berkata, rangkaiannya mengendalikan 98.94 juta penumpang, mencecah 84.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2019, petunjuk bahawa trafik terus bergerak pada trajektori yang tepat ke arah pemulihan.
Katanya, lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 6.83 juta penumpang, mencecah 79.6 peratus daripada paras pada 2019 dan peningkatan sebanyak 25.5 peratus berbanding Oktober 2022, didorong oleh pertambahan 85 kekerapan penerbangan mingguan daripada 48 syarikat penerbangan tempatan dan asing.
"Sektor antarabangsa dan domestik sama-sama menyumbang 50 peratus kepada jumlah pergerakan penumpang, masing-masing mencatatkan 3.4 juta penumpang, meningkat 60.8 peratus dan 3.0 peratus berbanding Oktober 2022,” katanya.
Bagi operasinya di Turkiye, MAHB berkata, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul terus melepasi paras 2019 sejak Mei 2023, dengan Oktober 2023 mencatatkan 3.34 juta penumpang, pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus berbanding Oktober 2019. - Bernama