Meroyan bukan hal yang boleh diperkotak-katikkan

Iklan
Isu meroyan tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan dan tekanan kepada mangsa. - Gambar hiasan 123RF

MINGGU lalu, sana sini orang mempersendakan tentang isu meroyan. Semuanya gara-gara kisah penceraian seorang yang terkenal baru-baru ini.

Merak Jalanan jadi sensitif, bukan sebab pernah mengalaminya, tetapi ada rakan pernah berdepan dengan situasi menyedihkan itu.

Iklan
Iklan

Ingat, jangan main-main dengan hal itu kerana ia boleh memberi tekanan kepada mangsa.

Rakan Merak Jalanan sendiri mula berdepan dengan kemelut tersebut seusai melahirkan bayi pertamanya. Semua bermula apabila dia dan suaminya belum bersedia menerima anak.

Iklan

Selepas si kecil itu dilahirkan, lelaki tersebut pula bersikap tidak ambil peduli dan membiarkan isteri terkapai-kapai menjaga bayi berseorangan.

Lebih teruk, kawan Merak Jalanan itu terpaksa melepaskan kerjaya dengan gaji lima angka demi anak sulungnya. Dia jelas tidak boleh menerima hakikat itu.

Iklan

Bermulalah episod meroyan atau kemurungan selepas bersalin atau PPD.

Paling ketara dia sukar menyusukan si kecil, sulit nak tidur, termasuk mempunyai naluri untuk membahayakan bayi dan dirinya.

Masalah tersebut berterusan lebih setahun lantaran dia tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Merak Jalanan dan rakan-rakan hanya mengetahui keadaan diri dia selepas terbaca status Facebooknya yang menakutkan.

Kami pujuknya merujuk pakar psikiatri. Selepas berminggu-minggu, barulah dia bersetuju. Lama jugalah kawan Merak Jalanan mendapat konsultansi.

Lebih kurang enam bulan selepas itu, barulah dia stabil. Wanita itu mula belajar bagaimana menjaga anaknya dengan baik, tetapi mengambil keputusan bercerai dengan suaminya.

Dalam hal ini, kami simpati dengan nasib dia. Bagi Merak Jalanan, masalah meroyan ini perlu difahami betul-betul.

Ya, perilaku itu merupakan salah satu masalah mental. Namun, tindakan memperkotak-katik, mencemuh dan menghina tidak akan selesaikan masalah mangsa.