UTTARAKHAND - Kesemua 41 mangsa runtuhan terowong di India berjaya diselamatkan selepas 17 hari terperangkap dalam runtuhan.
Menurut Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, kesemua mangsa berada dalam keadaan sihat bagaimanapun perlu mendapat rawatan dan pemantauan daripada pihak hospital.
Misi mencari dan menyelamat yang sukar itu mengambil masa 17 hari untuk menggerudi kawasan tapak runtuhan terowong berkenaan.
Selain itu, tiada amangsa yang mengalami kecederaan serius, malah ada dalam kalangan mereka yang masih mampu merangkak keluar dari terowong ketika misi menyelamat dilakukan.
Dalam pada itu, kesemua mangsa juga turut diberikan wang pampasan bernilai 100,000 rupee oleh kerajaan India.
Difahamkan, mereka terperangkap sejak 12 November lalu apabila bahagian terowong di Uttarakhand di utara India runtuh menghalang satu-satunya pintu keluar.
Misi menyelamat juga terpaksa diberhentikan beberapa kali sususlan keadaan cuaca dan bentuk muka bumi kawasan yang berisiko.
Terowong berkenaan adalah sebahagian daripada laluan Lebuhraya Char Dham cetusan idea Perdana Menteri India Narendra Modi.
Ia merupakan sebuah projek paling kontroversi untuk dinaik taraf dengan anggaran kos jutaan dolar yang bakal menjadi rangkaian pengangkutan terpenting negara itu. - Awani