Polis bongkar makmal proses ekstasi, rampas dadah, arak RM10.15 juta

Iklan
Kamarul Zaman menunjukkan satu peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan perindustrian di Taman Pasir Puteh, Pasir Gudang pada Isnin

PASIR GUDANG - Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan arak dan membongkar makmal dadah selepas menahan lima lelaki termasuk seorang bergelar Datuk melibatkan rampasan bernilai RM10.15 juta dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Pasir Puteh pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam itu dilakukan antara jam 11 pagi sehingga 8 malam Isnin di sebuah kilang yang mempunyai pagar yang tinggi.

Iklan
Iklan

"Menerusi serbuan pertama, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki berusia 26 sehingga 46 tahun. Dalam operasi ini kita melakukan pemeriksaan ke atas 11 kontena dan menemukan 7,910 kotak mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai bernilai RM5,538,977.

Kamarul Zaman menunjukkan wang dan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang, selepas sidang akhbar di IPD Seri Alam, Pasir Gudang pada Rabu

"Modus operandi kegiatan ini adalah membawa arak tanpa cukai, kemudian disimpan dalam kontena sebelum dihantar berdasarkan pesanan diterima di Johor Bahru. Kegiatan ini telah aktif beroperasi sejak November 2022," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, menerusi serbuan itu pihaknya telah menemukan sebuah makmal mini yang dijadikan tempat memproses dadah jenis ekstasi bersama sejumlah dadah dan peralatan memproses bahan terlarang itu dirampas pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam.

Antara dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Pasir Puteh Pasir Gudang pada Isnin.

Susulan serbuan pertama itu, beliau berkata, pada jam 7 malam Isnin sehingga 4 petang Selasa pihak polis melancarkan dua lagi serbuan di Johor Bahru sebelum menahan dua lagi lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk.

Iklan

Kamarul Zaman memberitahu, Datuk berkenaan yang berusia 46 tahun merupakan seorang ahli perniagaan dan dipercayai merupakan dalang utama sindiket terbabit.

Tambahnya, modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan sebahagian kabin kontena di kawasan terbabit sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Antara dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Pasir Puteh Pasir Gudang pada Isnin.

"Kegiatan pengedaran dadah ini telah aktif beroperasi sejak Jun tahun ini. Dalam serbuan ini kita merampas satu tong mengandungi 22.84 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM1,676,823; 2,320 biji pil ekstasi seberat 696 gram (RM50,982) dan 10 tong serta tiga botol mengandungi 182.90 liter cecair kimia (RM70,416) dengan jumlah nilai rampasan dadah RM1,798,221," katanya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah selain menyita 10 kenderaan (RM2,587,000); pelbagai barang kemas (RM219,048) dan wang tunai pelbagai mata wang (RM235,397) dengan keseluruhan sitaan berjumlah RM3,041,445.

Sebuah kereta mewah yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, hasil saringan air kencing terhadap kelima-lima suspek terbabit mendapati negatif dadah dan semua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Tambahnya, semua suspek direman selama empat hari bermula Isnin sehingga 1 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bermula 1 Januari sehingga 27 November lalu JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 15,483 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, dalam tempoh yang sama pihaknya telah berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 4.74 tan manakala keseluruhan jumlah dadah yang dirampas pula bernilai RM33.80 juta dengan sitaan harta sindiket RM13.29 juta.