APABILA menerima pemberian orang, ucapkanlah terima kasih sebagai tanda kita benar-benar menghargai usaha kebaikannya.
Jangan pula ‘membuat’ muka dan ‘berat’ untuk menerima bingkisan berkenaan. Kecil hati si pemberi nanti.
Ketahuilah bahawa kita harus menghindari diri daripada meremehkan pemberian walaupun yang bersifat kecil sama ada daripada jiran mahupun orang lain.
Itulah adab yang dianjurkan dalam Islam ketika menerima hadiah.
Demikian jelas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Bahkan, ALLAH SWT telah mengingatkan kita tentang azab bagi sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat-NYA.
Ia sebagaimana dijelaskan menerusi firman-NYA:"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu:"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
"Menurut Ibn Kathir, ayat itu bermaksud sekiranya seseorang bersyukur kepada ALLAH atas segala nikmat diberikan kepadanya, maka DIA akan menambahkan lagi nikmat tersebut.
"Namun, andai seseorang mengingkarinya, sesungguhnya azab ALLAH sangatlah pedih iaitu dengan menarik kembali nikmat tersebut daripada individu berkenaan, selain menyeksa mereka.
"Oleh sebab itu, perbuatan meremeh-remehkan pemberian amatlah tidak wajar walaupun ia sedikit,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.
Hujah tersebut turut dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA.
Rasulullah SAW bersabda: "Wahai wanita-wanita Muslimah! Jangalah seseorang itu meremehkan hadiah daripada jirannya, meskipun hadiah itu sekadar bahagian kaki kambing yang tidak mempunyai daging.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, usah pandang remeh pemberian kecil orang lain. Raikanlah hadiah yang diberikan kepada kita.