KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluaskan pertandingan Anugerah ‘Toilet Of The Year’ kepada tujuh kategori pada tahun depan seiring dengan keazaman kementerian itu untuk melakukan revolusi tandas awam di Malaysia.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua kategori baharu akan diperkenalkan membabitkan sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berbanding hanya lima kategori sebelum ini iaitu pusat beli-belah, restoran, hotel, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta stesen minyak.
Katanya, pertandingan tersebut juga diperluaskan ekoran populariti tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) yang diperkenalkan kementerian terbabit serta dana khusus yang diberikan kerajaan untuk menyelenggara dan membaiki tandas awam seluruh negara.
"Buat pertama kali dalam sejarah, untuk tahun depan Perdana Menteri bagi dana khas untuk tandas sebanyak RM150 juta dan saya akan memperluaskan pertandingan Anugerah ‘Toilet Of The Year’ yang telah diperkenalkan tahun ini.
"Kita terima sebanyak 345 penyertaan bagi anugerah ini untuk tahun (pertama) ini dan untuk tahun depan saya jangkakan ia akan capai 1,000 penyertaan kerana ia ditambah kepada tujuh kategori,” katanya pada wawancara khas bersama Sinar Harian di Pejabat KPKT, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia di sini pada Selasa.
KPKT sebelum ini memperkenalkan tandas BMW untuk menetapkan suatu konsep baharu dalam pengurusan tandas-tandas awam oleh PBT dan pihak swasta.
Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam Di Kawasan PBT telah diterbitkan semula dengan merangkumi elemen-elemen dan kriteria penarafan tandas BMW.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu memberitahu, hadiah pertandingan berkenaan akan turut dinaikkan sekali ganda sekali gus akan menyaksikan juara setiap kategori menerima habuan wang tunai sebanyak RM20,000.
Perluasan penganjuran pertandingan tersebut turut mencetuskan situasi yang tidak pernah berlaku di negara ini apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini meluluskan agihan peruntukan RM70,000 kepada sekolah di seluruh negara untuk menaik taraf dan menyelenggara tandas.
"Kita bayangkan Malaysia ada kira-kira 20,000 buah sekolah. Katakanlah setiap sekolah dapat RM70,000 jadi ia libatkan lebih kurang RM1.4 bilion peruntukan untuk naik taraf tandas sekolah,” ujar Kor Ming.
Beliau menegaskan, daripada kejayaan konsep tandas bertaraf BMW, KPKT akan maju selangkah lagi dengan memperkenalkan konsep tandas awam pintar yang mengaplikasikan teknologi pada tahun depan.
"Dengan adanya tandas pintar ini apabila kita melangkah masuk ke tandas, lampu akan terbuka sendiri dan bila keluar daripada tandas pula lampu akan automatik terpadam. Ia juga akan menjimatkan tenaga,” jelasnya.
Kor Ming menambah, pengenalan konsep tandas pintar terbabit akan membolehkan Malaysia meneroka pasaran industri peralatan tandas global yang bernilai RM80 bilion kerana berpotensi menjadi pengeluar terbesar mangkuk tandas.
"Ia sebab kita (Malaysia) mengeluarkan pasir silika berkualiti tinggi contohnya silika yang diambil di Simpang Pulai, Perak, menjadi antara yang terbaik di dunia dan kita boleh eksport.
"Bila saya mulakan (konsep) tandas BMW, ketika itu mungkin orang rasa kelakar. Ada yang gelar ‘ini menteri tandas’. Orang gelar saya ‘bapa tandas Malaysia’ pun saya tak kisah. Sebab sebagai menteri, apa yang penting saya buat perkara yang betul,” tegasnya.