GEORGETOWN - Dua buah bot nelayan tempatan kelas C ditahan bersama 3.6 tan ikan selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-dua bot itu ditahan secara berasingan dalam Op Pertiwi yang diadakan tengah hari semalam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihaknya turut menahan seorang nelayan warga tempatan berusia 44 tahun dan enam warga Thailand berusia lingkungan 24 hingga 62 tahun.
"Bot pertama ditahan pada jam 12 tengah hari pada jarak 9.2 batu nautika manakala bot kedua ditahan pada jam 12.30 tengah hari pada jarak 11.4 batu nautika dari Timur Laut Pulau Bidan.
"Turut dirampas tiga gulung pukat tunda, empat papan tunda, ikan baja 600 kilogram ikan baja dan 3,000 kilogram ikan campur. Mereka yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kesemua nelayan tersebut dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.
Artikel Berkaitan