Sembilan kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di Malaysia

Iklan
Lukanisman - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Sembilan kes jangkitan cacar monyet (mpox) dilaporkan berlaku di dalam negara bagi tempoh Julai hingga November tahun ini melibatkan seorang warga asing dan lapan warga tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kes pertama dan kedua direkodkan di Kuala Lumpur pada Julai, kes ketiga dan keempat pada bulan lepas di Selangor, kelima di Sarawak pada 5 November manakala baki empat kes terbaharu juga di ibu negara.

Iklan
Iklan

"Bagi kemasukan pelajar asing ke institusi pendidikan tinggi terutama dari negara yang melaporkan kes mpox atau endemik mpox, mereka diminta melakukan pemantauan kendiri selama 21 hari dan perlu dapatkan rawatan sekiranya bergejala,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai langkah pencegahan bagi memastikan jangkitan cacar monyet yang dilaporkan telah wujud di Malaysia tidak menular seperti virus Covid-19.

Iklan

Lukanisman berkata, melalui Garis Panduan Pengurusan Mpox Malaysia 2023, mereka yang dijangkiti dan kontak rapat perlu melalui tempoh pengasingan di kediaman atau lokasi bersesuaian sehingga disahkan bebas daripada jangkitan.

"Bagi langkah pemantuan ketika ini, kita ada 11 klinik sentinel terdiri daripada tujuh fasiiti kerajaan dan empat swasta manakala untuk pengesanan awal jangkitan, kita ada khidmat ujian pengesanan virus melalui 12 makmal termasuk empat fasiliti swasta,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Lukanisman berkata, kaedah pelepasan nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia terbukti dapat mengawal dan mengatasi peningkatan wabak denggi dengan inisiatif dilaksanakan sejak 2019 itu menyaksikan 19 lokaliti pelepasan nyamuk merekodkan 100 peratus penurunan kes denggi.

"Sehingga kini, terdapat 31 lokaliti pelepasan nyamuk itu di seluruh negara dengan perancangan pertambahan 10 lokaliti pelepasan baharu setiap tahun,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai langkah drastik bagi mengekang kes denggi yang semakin meningkat.

Menurut beliau, nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia tidak berbahaya kepada manusia sebaliknya ia menghapuskan virus denggi apabila mengawan atau bersenyawa dengan nyamuk Aedes biasa.

Beliau berkata walaupun kaedah itu berkesan, namun Kementerian Kesihatan tidak dapat melaksanakan langkah berkenaan secara besar-besaran memandangkan pelepasan nyamuk itu memakan kos tinggi dengan purata harga seekor nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia antara 30 hingga 45 sen.

Katanya, berdasarkan data minggu epidemiologi ke-47 (ME47) bagi tempoh 19 hingga 25 Nov, jumlah kumulatif kes denggi adalah 108,429 kes berbanding 56,304 kes bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 52,125 kes atau 92.6 peratus. - Bernama