Remaja acu pisau dibebas dengan jaminan polis

Iklan
Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung kes remaja 13 tahun yang bertindak mengacukan pisau pada pemandu e-hailing.

SUNGAI PETANI - Siasatan membabitkan kes cubaan merompak oleh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan selesai dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, remaja terbabit telah direman selama sehari bagi membantu siasatan dan tempoh reman telah berakhir pada Rabu.

"Kita membebaskannya hari ini sementara menunggu keputusan lanjut daripada pejabat timbalan pendakwa raya selepas menyiapkan kertas siasatan,"katanya ketika dihubungi.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang pemandu e-hailing warga emas berdepan saat cemas diacu sebilah pisau oleh seorang penumpang lelaki dalam kejadian di Taman Keladi pada Isnin.

Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cubaannya menggigit tangan remaja dan merampas pisau tersebut menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.

Iklan

Video berdurasi satu minit 32 saat itu turut tular di media sosial memaparkan tindakan remaja tersebut mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing.

Kejadian dipercayai bermula lebih kurang jam 5.43 petang setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.

Bagaimanapun, semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, remaja itu telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan dilihat mahu merampas wang dari poket menyebabkan laporan polis berhubung kejadian dibuat.