KUALA LUMPUR - Kes jenayah komersial di dalam negara bagi tahun ini setakat 26 November mencatatkan kerugian mencecah RM1.9 billion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia membabitkan 37,651 kertas siasatan.
Menurutnya, sepanjang minggu kajian dari 20 hingga 26 November lalu, JSJK telah membuka sejumlah 828 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan jenayah komersil.
"Daripada 828 kertas siasatan yang dibuka, 692 kertas siasatan atau 83.6 peratus adalah berkaitan kes-kes penipuan secara dalam talian yang dipecahkan kepada enam modus operandi utama.
"Iaitu, jenayah telekomunikasi (224 kes), jenayah e-kewangan (36 kes), love scam (13 kes), jenayah e-dagang (197 kes), pinjaman tidak wujud (94 kes) dan pelaburan tidak wujud (128 kes)," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Rabu.
Beliau berkata, seiring dengan kemajuan teknologi, amat penting untuk masyarakat mengambil maklum dan melaksanakan langkah-langkah perlindungan untuk mencegah penyalahgunaan teknologi.
Katanya, dunia hari ini telah memperlihatkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) semakin mengambil alih tugas dan peranan yang sebelumnya dilakukan oleh manusia.
"Pihak media sama ada media cetak, media elektronik dan sebagainya juga digesa untuk menyalurkan lebih banyak informasi berkenaan teknologi AI kerana wujud kebimbangan teknologi ini boleh disalahgunakan untuk tujuan jenayah.
"Antaranya, penipuan serta serangan siber melalui penciptaan algoritma yang boleh menggodam sistem komputer, teknologi pemprosesan suara yang canggih dapat digunakan untuk membuat rakaman suara yang menyerupai suara seseorang serta penciptaan identiti palsu yang sangat meyakinkan termasuk foto atau video palsu," ujarnya.