Tiga maut, pacuan empat roda dihempap treler

Iklan
Lokasi nahas yang mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian awal pagi tadi.

BENTONG - [DIKEMASKINI] Perjalanan pulang empat warga Thailand ke tanah air berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki dihempap lori treler yang terbalik dalam kejadian di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu, isteri pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Yawiyah, 53, sepupunya, Maskah, 49, dan seorang rakan, Jantana, 43 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Sementara, pemandu Toyota Hilux itu, Mama, 55; pemandu treler, Mohd Ali Mohamed @ Abdullah, 31 dari Felda Chiku 1, Gua Musang dan kelindannya, Mat Ripha Ismail, 52 dari Pasir Mas, Kelantan pula cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, siasatan awal mendapati, Toyota Hilux yang dinaiki pasangan suami isteri bersama dua yang lain berasal dari Naratiwat, Thailand itu dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Kuala Lumpur.

Iklan

Menurutnya, lori treler yang membawa muatan getah buku itu dari arah sama dalam perjalanan menghantar muatan ke Kuala Krai.

"Ketika sampai di tempat kejadian, lori dipandu Mohd Ali dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu terbabas ke kiri dan melanggar tembok sebelum terbalik dan menghempap kenderaan dinaiki empat mangsa.

Iklan

"Lori treler yang terbalik dengan semua tayar ke atas turut mengheret kenderaan mangsa sejauh hampir 100 meter,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat dan mangsa yang tersepit selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda dihempap lori treler dalam kemalangan di Kilometer 43.3 Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong awal pagi tadi.

Yusuf berkata, semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

"Operasi mengeluarkan pemandu dan kelindan lori treler mengambil masa kira-kira 45 minit manakala usaha mengeluarkan empat mangsa dari Toyota Hilux di bawah treler mengambil masa kira-kira sejam.

"Tiga wanita daripada kenderaan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat manakala dua yang parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler yang parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

"Kemalangan meragut tiga nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Genting Highlands bersama dua jentera ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi mendapati sebuah lori treler membawa muatan getah buku terbalik dan menghempap kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa.

"Anggota terpaksa menggunakan alat pemotong untuk memotong bahagian kenderaan yang remuk bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Operasi ditamatkan jam 4.42 pagi selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.