48 jam sebelum larangan berkuat kuasa

Iklan

KUALA LUMPUR - Tinggal 48 jam sahaja lagi sebelum larangan merokok di premis makan terbuka bakal berkuat kuasa, hasil tinjauan mendapati pelekat dan papan tanda larangan merokok sudahpun dipasang di premis berkenaan.

Tinjauan Bernama sekitar ibu kota selama tiga hari mengenai kesediaan premis perniagaan terhadap penguatkuasaan larangan itu di beberapa kawasan menjamu selera tumpuan ramai seperti restoran mamak dan medan selera rata-rata menunjukkan kesedaran tinggi akan larangan itu.

Iklan
Iklan

Menurut seorang pekerja restoran nasi kandar yang ditemui, Abdul Kareem Ismail, 32, berkata, papan tanda larangan merokok sudah lama dilekatkan dan tidak mempunyai masalah dengan penguatkuasaan larangan merokok di premis mereka.

"Dekat sini, pelekat dan papan tanda memang dah lama ada, cuma tak ramai yang hiraukan. Baru-baru ini pun, kami ada tambah dan besarkan pelekat larangan.

Iklan

"Mungkin selepas ini mereka (perokok) akan guna meja yang diletakkan di luar dengan jarak yang telah ditetapkan," katanya yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Ampang di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun, denda jika merokok di kedai makan mulai 1 Januari

Iklan

Bagi Rahman Iskandar, 25, yang menjual makanan di sebuah medan selera di Cheras, dia mengakui ada perubahan selepas peraturan larangan merokok di uar-uarkan sejak beberapa bulan lalu.

"Rasanya ramai yang dah sedar dengan peraturan itu sebab ada pelanggan tetap yang datang, mereka akan merokok di luar malah ada yang pergi hingga ke tempat parking. Malah ada pelanggan, terutama yang ada anak kecil, sudah berani menegur perokok 'degil' agar tidak merokok di tempat makan," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memasang papan tanda berkenaan di kebanyakan premis bangunan termasuk premis kerajaan.

"Kita dah banyak pasang papan tanda itu di sekitar Kuala Lumpur, yang paling besar di beberapa lokasi termasuklah pada skrin besar di Dataran Merdeka dan di kawasan Bukit Bintang.

”Setakat ini, lebih kurang 3,000 notis dan poster telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan dan Putrajaya kepada premis makanan terbuka di sekitar Kuala Lumpur yang telah kita edarkan mulai awal Januari lepas,” katanya kepada Bernama.

Nor Hisham dalam pada itu menjangkakan seramai 200 anggota penguatkuasa akan menjalankan pemeriksaan ke atas sekitar 200 premis makanan berkenaan pada bulan pertama ia dikuatkuasakan nanti di sekitar ibu kota.

Jelasnya lagi, tiada keperluan untuk tempoh penguatkuasaan itu dipanjangkan memandangkan tempoh yang lama sudah diberi dan menyeru perokok serta pengusaha atau pemilik premis makanan di negara ini mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Bermula 1 Januari 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok akan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye baru-baru ini berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250 namun boleh dikurangkan ke RM150 jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan. - Bernama