KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 4,900 projek iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan kementerian demi kesejahteraan rakyat dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Menteri berkenaan, Nga Kor Ming berkata, projek terlibat termasuklah menaik taraf pasar dan tandas awam, membaik pulih dewan orang ramai, membina rumah mampu milik serta menyelenggara longkang dan cerun bukit di kawasan perumahan.
Katanya dalam aspek perumahan, sebanyak 301 projek terbengkalai dengan nilai RM28.8 bilion melibatkan 37,000 pembeli rumah juga berjaya diselamatkan, hasil penubuhan pasukan petugas khas yang bertangungajawab memantau isu projek rumah terbengkalai negara.
"Ini merupakan satu kejayaan yang tidak pernah dicapai dulu (kerajaan terdahulu). Jadi kita (KPKT) amat bersyukur, apatah lagi projek-projek ini telah berlarutan sekian lama malah pembelinya pun sudah habis membayar pinjaman perumahan tetapi belum mendapat kunci rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pencapaian utama KPKT sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Kor Ming berkata, selain projek terbengkalai, KPKT juga memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik dengan 9,000 unit rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disasar untuk disiapkan tahun ini untuk keselesaan rakyat.
"Pada awal tahun, menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), KPKT juga menetapkan 4,000 unit rumah mesra rakyat dibina namun saya yakin menjelang bulan depan, kita akan dapat menyiapkan 5,025 unit iaitu 25 peratus lebih daripada sasaran,” katanya.
Dalam aspek ekonomi pula, Kor Ming berkata, KPKT telah membantu melahirkan 16,294 usahawan dari program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dengan golongan seperti ibu tunggal dan B40 diberikan latihan dan peralatan bagi menjalankan perniagaan, selaras dengan misi kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menjelang Disember ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata KPKT telah menghapuskan sebanyak 1,618 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara tahun ini melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selain melaksanakan dasar tandas awam bertaraf BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi sebagai langkah menyokong Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Tahun depan, dasar ini yang ketika ini memberikan Anugerah Tandas Terbaik kepada hotel, restoran, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak dan pusat beli-belah akan dipeluas kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekolah bagi memastikan kita dapat menyediakan fasiliti yang terbaik menjelang TMM 2026,” katanya. - Bernama