Elak pertikaian, Ebby Yus usaha sendiri dana rawatan jantung

Iklan
Ebby Yus

PELAKON dan pelawak, Ebby Yus mengambil inisiatif untuk mengumpul sendiri wang membiayai rawatan memasang perentak jantung bagi mengelakkan salah faham dan pertikaian di kemudian hari.

Jelas Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, setakat ini dia hanya memerlukan lebih kurang RM15,000 sebagai wang tambahan membayar alat perentak jantung, bil hospital, ubat dan perbelanjaan lain-lain sepanjang tempoh bercuti.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun semua itu diusahakan sendiri tanpa melibatkan pihak lain.

"Saya bukan nak sombong atau nak tolak bantuan, tetapi saya tidak mahu nanti orang pertikai saya masih ada kereta dan masih bekerja, kenapa pula tak ada duit? Jadi tak sedaplah nak minta bantuan.

Iklan

"Alhamdulillah saya telah mendapat bantuan daripada pihak hospital, jadi daripada RM38,000 kos alatan, saya hanya perlu tambah RM5,000 sahaja.

"Cuma itu untuk alatan, belum lagi kos bil perubatan dan perbelanjaan saya apabila perlu bercuti panjang nanti. Walaupun duit itu belum ada sepenuhnya, saya yakin dapat menyediakan bakinya apabila diperlukan nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Berkongsi lanjut berkenaan prosedur memasang perentak jantung itu, Ebby berkata, perkara itu belum dimuktamadkan dan bergantung pada temu janji 12 Disember depan bersama doktor di Pusat Jantung Hospital Serdang.

"Tarikh pembedahan juga akan dimaklumkan pada 12 Disember nanti. Namun seandainya ada keajaiban daripada ALLAH, doktor kata tak perlu jalani pembedahan.

"Setakat ini berdasarkan pemeriksaan, kekuatan jantung saya hanya tinggal 26 peratus dan ada injap jantung yang bocor. Itu menyebabkan jantung saya bertambah lemah," ujarnya.

Ebby berkata, walaupun pergerakan terhad dan cepat penat, dia masih terus bekerja untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun ada ketikanya terpaksa menolak tawaran kerana kekangan kesihatan.

"Macam baru-baru ini saya dapat buat dua episod sahaja bersama RTM daripada empat episod yang ditawarkan sebab mata saya tak nampak.

"Alhamdulillah saya juga baru sahaja menjalani pembedahan mata seminggu lalu. Cuma saya tidak dapat buat projek yang memerlukan saya berada di luar. Kalau indoor Insya-ALLAH saya ambil," katanya.