Pendaftaran, tuntutan eMadani bermula Isnin ini

Iklan
Anwar ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Rabu.

SHAH ALAM - Pendaftaran dan tuntutan e-kredit atau eMadani berjumlah RM100 akan dibuka mulai Isnin depan hingga 20 Februari 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berjumlah RM1 bilion itu akan dilakukan secara sekali bayar (one off) dengan 10 juta rakyat dewasa layak dapat manfaatnya.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, bantuan tersebut diberi kepada rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan berpendatangan rendah (B40) serta pertengahan (M40).

"Program eMadani adalah kesinambungan kepada kejayaan program eBeliaRahmah dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.

Iklan

"Menjelang hujung tahun dan musim cuti persekolahan, kerajaan harap sumbangan eMadani dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan rakyat di samping memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

"Pelaksanaan program ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyegerakan langkah yang menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara serta membantu rakyat secara langsung," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet mengambil bahagian dalam program ini.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun atau mata ganjaran (reward points) sepanjang tempoh program berkenaan.

Syarat kelayakan melibatkan warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023 dan mempunyai pendapatan RM100,000 ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 15 Julai 2023.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMadani bermulapukul 8 pagi, 4 Disember ini sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.

Pengunaan kredit eMadani serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sehingga 29 Februari 2024.

Pemohon program ini boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) melalui pautan https://manfaat.mof.gov.my/eMADANI atau https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.