KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terbabit kontroversi video tular dengan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Agus Yusoff mengesahkan 'Mr H' yang mengarahnya merakam video adalah individu sama dipanggil polis.
Peguamnya, Faizal Rahman berkata, Wahab, 33, mengesahkan identiti 'Mr H' dalam rakaman percakapannya dengan pihak polis bagi membantu siasatan kes itu."Pada hari ini kita (Wahab) mengesahkan individu (yang didakwa sebagai 'Mr H') yang dipanggil polis sebelum ini (adalah) orang yang sama.
"Pihak polis sebutkan sebelum ini Wahab cuma perlu tampil dan memberi pengesahan identiti 'Mr H' dan ia dah dipenuhi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Pada 17 November lalu, Wahab dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai 'Mr H'.
Bagaimanapun, Wahab mendakwa video itu telah disunting sebelum ia disebarkan dan tular di media sosial.
Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.
Wahab terdahulu tiba di Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi sebelum tamat rakaman percakapan pada jam 2.30 petang.
Faizal memberitahu, Wahab hadir memberi keterangan sebagai saksi berikutan laporan yang dibuat Mohammad Agus sebelum ini.
Ditanya lanjut tentang identiti Mr H pula, Faizal mengesahkan pegawai itu masih lagi bertugas di J-KOM namun enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, menurutnya, keadaan Wahab yang dilaporkan mengalami kemurungan sebelum ini sudah sedikit stabil tetapi masih memerlukan bantuan perubatan.
Kata beliau, Wahab juga akan membuat laporan polis terhadap Mr H dalam masa terdekat.
"Wahab akan buat laporan polis sama ada esok atau lusa, tidak dijangka di (balai polis) mana namun dijamin (kes ini) akan selesaikan secepat mungkin.
"Dia (Wahab) masih lagi dalam ketakutan, tetapi keadaannya stabil,” katanya.