Lebih 10 rumah ditakungi air, sukar lakukan urusan harian

Iklan
Che Hashim melalui jalan yang digenangi air.

KOTA BHARU - Lebih 10 rumah penduduk berdepan masalah air bertakung di persekitaran rumah dan laluan utama di Kampung Tok Khalid, Peringat di sini sejak bulan lalu.

Seorang penduduk, Mek Mohamad, 70, berkata, air setinggi 0.3 meter memenuhi rumahnya dan jalan masuk ke kampung itu menyebabkan kesukaran untuk melakukan urusan harian.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan itu susulan daripada hujan yang berlaku hanya dalam tempoh sehari, namun mengambil masa sehingga sebulan untuk pulih dan surut sepenuhnya.

"Saya tinggal dengan tujuh cucu berusia enam hingga 20 tahun di rumah ini dan kami terpaksa mengharung air bertakung ini untuk keluar masuk termasuk bagi urusan cucu-cucu ke sekolah setiap pagi.

Che Hashim menunjukkan air dalam longkang yang mengalir perlahan.

Iklan

"Kereta pula diletakkan jauh di kawasan luar yang lebih tinggi kerana bimbang rosak jika kerap meredah air,” katanya ketika ditemui di kampung itu pada Rabu.

Seorang pesara kakitangan awam, Che Hashim Che Seman, 61, mendakwa keadaan air bertakung itu akibat daripada masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik.

Iklan

Katanya, ada juga bahagian longkang dan parit tertimbus kerana pembinaan rumah atau pembangunan lot-lot kedai.

"Parit dan longkang di dalam kampung ini tertimbus dengan tanah dan dipenuhi rumput menyebabkan air yang kotor ini kerana bercampur dengan sisa kilang besi berhampiran tidak dapat mengalir keluar.

Seorang kanak-kanak mengharungi air yang bertakung di hadapan rumah keluarganya.

"Saya harap pihak berwajib turun padang menyelesaikan masalah ini dan kami sudah pun membuat aduan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor berkata, beliau sedia maklum dengan masalah yang dihadapi dan akan mengambil tindakan segara.

"Saya akan merujuk masalah ini kepada pihak Majlis Daerah Ketereh dan melihat penyelesaian yang wajar.

"Saya juga menasihatkan penduduk yang mempunyai sebarang masalah boleh membuat aduan mengikut saluran yang betul supaya maklumat sampai untuk diambil tindakan,” kata beliau.

Keadaan jalan Kampung Tok Khalid, Peringat yang digenangi air.