KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan meningkatkan ‘perisai’ diri bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang menjadi semakin berleluasa khususnya apabila transaksi kewangan beralih secara dalam talian.
Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM,) Vijayadurai Singgatore berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan amaran dan tip pencegahan terkini yang dikeluarkan BNM di Facebook rasminya mengenai modus operandi scammer.
"Sebagai pengguna kewangan kita perisaikan diri kita, kawal diri kita dengan tidak klik pada macam-macam link dan jangan layan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan putuskan sahaja talian tersebut sebab lagi lama kita berbual lagi tinggi peluang menjadi mangsa.
"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak masuk akal atau panggilan yang mendakwa mereka adalah pihak berkuasa dan sebagainya... sekiranya perisai kita kuat, kita tidak akan mudah ditembusi dan terjerat dengan scammer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Bicara MCMC bertajuk ‘Membanteras Penipuan Kewangan Tanggungjawab Bersama’ terbitan Bernama TV, malam Selasa.
Vijayadurai berkata, BNM sentiasa mengambil serius terhadap kegiatan scam dan pihaknya peka dengan perkembangan semasa modus operandi scammer dan sehubungan itu aspek pencegahan, kerjasama dan kesedaran awam diberi tumpuan oleh BNM.
"Dalam aspek pencegahan, tahun lepas BNM telah mengarahkan pihak bank menjalankan lima langkah tindak balas antaranya percepatkan peralihan daripada penggunaan Kata Laluan Sekali Guna (OTP) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh untuk melindungi pengguna.
"Selain itu mengehadkan bilangan peranti berdaftar yang boleh digunakan untuk transaksi perbankan. BNM memang mengambil serius isu ini, kerana itu semua langkah yang diambil adalah selaras dengan tiga aspek ini iaitu pencegahan, kerjasama dan kesedaran,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kanan Pembangunan Kapasiti, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Natasya Nadzmi yang menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Kemudaratan Dalam Talian: Pornografi’ berkata cabaran pornografi hari ini semakin besar apabila teknologi semakin berkembang.
Katanya, keadaan semakin serius apabila tiadanya peraturan terhadap kaedah penyebarannya yang kini telah beralih kepada messaging apps termasuk Telegram.
"Kalau di Google kita tahu memang kita tidak dapat akses pornografi dan begitu juga di Instagram atau TikTok yang akan menurunkan kandungan yang tidak menepati peraturan mereka tetapi WhatsApp, Telegram dan sebagainya tiada siapa yang boleh kawal kerana tiada regulasi,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian, sebanyak 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar pornografi dan perkara ini harus dibendung dengan memperkenalkan pendidikan seksualiti komprehensif (CSE) di sekolah dan di rumah.
"Kita memang kena mulakan CSE di sekolah dan rumah, mungkin ada ibu bapa yang tidak boleh cerita dengan anak jadi kita buat di sekolah... bila bercakap tentang CSE ini, kita bukan bercakap tentang bagaimana untuk adakan hubungan seksual tetapi kita sentuh tentang apa kesannya, apa kepentingan perlindungan, apa penyakit yang ada dan sebagainya.
"Badan bukan kerajaan, pihak kerajaan boleh bekerjasama dan saya rasa apa yang telah dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia sudah bagus tetapi kalau boleh kita mahu langkah pencegahan terus diperhebat,” katanya. - Bernama