Anwar beri impak positif hubungan Indonesia-Malaysia, masa depan ASEAN

Iklan
Anwar Ibrahim

JAKARTA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan positif dalam hubungan Indonesia-Malaysia termasuk memastikan perlindungan pekerja Indonesia di Malaysia dan memajukan kerjasama ekonomi bagi pertumbuhan bersama.

"Sumbangan juga terlihat di peringkat kerjasama serantau seperti di Sidang Kemuncak ASEAN 2023 yang dipengerusikan Indonesia,” kata penganalisis komunikasi politik, Dr Hendri Satrio.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Paramadina di Jakarta Selatan berkata demikian ketika diminta mengulas perubahan yang dibawa Anwar sepanjang tahun pertama Kerajaan Perpaduan memerintah.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 negara pada 24 November 2022.

Iklan

Hendri berkata, Anwar sentiasa mendapat tempat di ‌minda dan hati rakyat Indonesia malah pelantikan sebagai perdana menteri mencetuskan optimis penambahbaikan demokrasi yang signifikan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, hubungan Indonesia-Malaysia lebih daripada sekadar persahabatan dan mempengaruhi politik antara satu sama lain.

Iklan

"Kita semua satu keluarga, bahasa hampir sama, muka pun serupa, jadi kalau kita bekerjasama di bidang ekonomi, politik atau keselamatan, sudah pasti nilainya lebih tinggi berbanding dengan negara lain.

"Alangkah baik Indonesia, Malaysia dan Singapura memiliki hubungan erat supaya, contohnya memanfaatkan Selat Melaka untuk mengukuhkan ekonomi negara masing-masing,” tambah beliau.

Selain berharap kerjasama erat antara dua negara akan dipertingkat, Hendri juga membayangkan potensi Anwar sebagai pemimpin Muslim di ASEAN,yang majoriti penduduknya Muslim untuk membawa rantau ini lebih jauh dan maju.

Beliau menekankan peranan transformatif pemimpin Muslim dan mendorong Anwar agar terus membentuk dan mempromosikan demokrasi yang ideal di rantau ini.

"Datuk Seri Anwar diidolakan sebagai seorang daripada pemimpin Islam yang diinginkan oleh banyak orang di Indonesia, berjuang melawan ‘penjajahan’ kemudian tetap sangat menghargai dan menunjukkan nilai-nilai Islam,” katanya.

Beliau juga menyuarakan harapan agar Anwar berusaha melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh baharu yang berperanan sebagai pemimpin teladan. - Bernama